PEMERGIAN Manuel Ott meninggalkan satu impak besar terhadap skuad Sang Kenari musim depan apabila mereka kini terpaksa mencari seorang pemain tengah baharu.
Pemain tengah yang merekodkan enam gol dan tiga bantuan jaringan buat Kedah Darul Aman (KDA) FC itu boleh dianggap sebagai antara komponen penting dalam jentera serangan pasukan.
Tidak cukup dengan itu, kehilangannya menyaksikan kelab berkenaan perlu mencari seorang kapten baharu setelah dia diberikan kepercayaan tersebut musim lalu.
Pengalaman yang dimilikinya di peringkat kelab serta di pentas antarabangsa bersama Filipina menyaksikannya dipilih untuk memikul peranan terbabit.
BACA LAGI: Ketiadaan KL City FC, KDA FC buat Liga M hambar, rencat perancangan bola sepak
Nafuzi kini perlu mencari seorang kapten baharu untuk musim depan. — Facebook/KDA FC
Selain itu, tanggungjawab berkenaan diberikan pengendali pasukan, Nafuzi Zain yang menyedari sikap kepimpinannya ketika kedua-dua masih berada di Terengganu FC.
Jadi, dalam mengisi kekosongan itu, KDA FC seperti terpaksa membawa masuk seseorang dengan kualiti diperlukan untuk membimbing pasukan dalam setiap perlawanan.
Namun, melihat kepada skuad semasa mereka, terdapat beberapa nama yang boleh diketengahkan untuk memakai lilitan tangan kapten musim depan.
Di samping pernah diberikan kepercayaan itu sebelum ini, pengalaman dan kualiti mereka boleh dijadikan faktor di atas pemilihan itu.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga nama yang cukup sesuai diberikan kepercayaan tersebut dalam misi mengisi kekosongan ditinggalkan Manuel Ott.
1. Syafiq Ahmad
Setelah berkali-kali dikaitkan, Syafiq Ahmad akhirnya diumumkan sebagai pemain baharu KDA FC selepas dipinjamkan dari Johor Darul Ta'zim (JDT).
Kebolehannya untuk menyudahkan peluang serta pengalamannya di pentas tertinggi menyaksikan penyokong Hijau Kuning amat gembira akan kepulangannya.
Jadi, sekiranya dia diberikan kepercayaan sebagai kapten pasukan musim depan, keputusan tersebut pasti tidak akan disangkal rata-rata pengikut setia mereka.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Game panas', 7 kad kuning pernah cemari aksi JDT-KDA FC
Syafiq (kiri) pernah diberikan peranan kapten Harimau Malaya. — Facebook/FAM
Penyerang berusia 28 tahun itu pernah diberikan peluang memakai lilitan tangan kapten ketika beraksi buat skuad kebangsaan, termasuk semasa aksi Kelayakan Piala Asia 2023.
Selain itu, reputasinya yang cukup tinggi pasti akan membuatkan rakan sepasukan mengagumi akan kebolehannya, sekali gus menjadikannya calon terbaik.
Meskipun ada yang berasakan Syafiq sudah tidak sesuai kerana bertahun-tahun memanaskan bangku simpanan JDT, dia masih boleh dikatakan sesuai dengan situasi skuad Sang Kenari ketika ini.
2. Rizal Ghazali
Pemain pertahanan kanan, Rizal Ghazali merupakan seorang lagi pemain yang diumumkan kepulangannya ke KDA FC pada jendela perpindahan kali ini.
Bek yang sudah bertahun-tahun beraksi bersama pasukan Utara tanah air berkenaan memilih untuk mencari angin baharu dan menyertai Sabah FC untuk dua musim bermula 2022.
Namun, Rizal akhirnya memilih untuk pulang ke pangkuan skuad Sang Kenari dengan keputusan terbabit membuatkan ramai pihak teruja melihat aksinya di atas padang.
Rizal (kanan) pasti menjadi salah seorang calon pilihan untuk menjadi kapten baharu skuad Sang Kenari. — Facebook/gawang.my
Malah, ada juga yang berasakan pemain berusia 31 tahun itu boleh diberikan peranan kapten sejurus selepas KDA FC mengumumkan pemergian Manuel Ott.
Dia yang boleh dikatakan sebagai antara pemain paling senior pasti akan membuatkan rata-rata pemain muda mudah beraksi di sampingnya.
Selain itu, Rizal yang pernah bertahun-tahun berkhidmat buat KDA FC sudah tentu miliki hubungan cukup baik, lebih-lebih lagi dalam kalangan penyokong.
Keakrabannya di luar padang bersama bekas kapten, Baddrol Bakhtiar juga boleh memainkan peranan untuknya dipilih sebagai pemimpin musim depan.
3. Ifwat Akmal Chek Kassim
Berdasarkan ketiga-tiga pemain yang disenaraikan, Ifwat Akmal Chek Kassim merupakan satu-satunya pemain yang pernah beraksi bersama Nafuzi, iaitu pada musim lalu.
Dia yang sudah beberapa tahun menabur khidmat buat skuad Sang Kenari boleh diangkat sebagai salah seorang figura paling berpengaruh dalam pasukan.
Namun, peluangnya kian terhad berikutan kehadiran Kalamullah Al-Hafiz yang beraksi sebagai barisan pertahanan terakhir akan membuatkannya calon yang kurang popular.
Ifwat kurang diberikan peluang beraksi musim lalu. — Facebook/KDA FC
Berdasarkan rekod, Ifwat hanya diturunkan sebanyak enam kali musim lalu dengan lima daripadanya dicatatkan dalam saingan Liga Super.
Tetapi, penjaga gawang itu masih diberikan kepercayaan dalam perlawanan penting, termasuk ketika berdepan JDT di laman sendiri dan dalam aksi 'Derbi Utara'.
Sekiranya dia dapat meraih minit permainan lebih kerap, tiada sebab kukuh untuknya tidak diberikan peranan kapten, lebih-lebih lagi setelah dia sudah memahami gaya permainan Nafuzi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram