Pengaruh 'cable' punca pemain 'injury prone' masih jadi rebutan kelab Liga Super — Azmeer Yusof


  • Podium
  • Rabu, 06 Mac 2024

Azmeer sering berkongsi nasihat kepada pemain di laman Facebooknya. — Facebook/AzmeerYusof

SETIAP kali jendela perpindahan berlangsung, elemen kejutan yang diberikan kelab seperti menandatangani pemain idaman pasti membuatkan ramai penyokong gembira dan berpuas hati sehingga mereka melabel wajah baharu itu sebagai signing of the season.

Walaupun ada pemain idaman mempunyai sejarah kecederaan yang teruk namun ia tidak menjadi alasan nama mereka akan terkubur begitu sahaja, malah masih menjadi calon teratas untuk dibawa masuk.

Musim ini, senario pemain mempunyai rekod cedera dan tidak mempunyai minit permainan yang baik masih menjadi rebutan beberapa kelab, bahkan ada di antara mereka sudah menandatangani pasukan baharu.

Persoalan seperti bagaimana khidmat mereka masih laku di pasaran mula timbul dalam kalangan sesetengah penyokong walaupun hakikatnya rekod mereka dari segi sumbangan kepada pasukan lama agak tidak memberangsangkan.

Menurut bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA), Azmeer Yusoff, perkara sebegitu rupa sudah lama berlaku dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan kelompok pemain seperti itu selalunya pernah mencipta nama bersama pasukan kebangsaan.

BACA LAGI: Legenda Kedah titip nasihat berguna buat pemain, perlu kuatkan tauhid walaupun main bola

"Liga Malaysia ini macam ni. Kau ada nama sikit, kau pernah main kebangsaan walaupun 10 tahun yang lepas kau tetap akan dikenang dan dianggap bagus macam 10 tahun lepas. Sebab itu senang untuk pemain-pemain yang ada nama dapat kontrak walaupun cedera dan main dah tak bagus.

"Lagi, pemain itu sendiri akan menghubungi jurulatih pasukan lain, kenalkan diri dan bla bla bla. Selepas itu, InshaaALLAH akan dapat kontrak kerana jurulatih itu ‘kenal‘ siapa yang telefon itu.

"Lagi. Kawan dalam pasukan tersebut tolong bagi pihak kita untuk dapatkan kontrak. Bagus tak bagus nombor dua, janji tandatangan kontrak dulu," katanya.

Legenda Kedah Darul Aman (KDA) FC itu berpendapat, tidak salah untuk kelab asyik memandang tinggi kepada pemain berpengalaman namun lama-kelamaan slot untuk ubi muda mendapat tempat dalam pasukan semakin berkurang.

Namun, pemain yang kini beraksi bersama Liga M3, Harini FT itu tidak menafikan bahawa setiap rezeki sama ada mendapat pasukan baharu ataupun sebaliknya sudah diatur dengan indah oleh ALLAH SWT.

BACA LAGI: Pengajaran buat Kedah, anak jati, bekas bintang jadi taruhan Sang Kenari sampai terpaksa limit import

azmeer dalam

Azmeer (tengah) ketika mewakili KDA satu masa dahulu. — Facebook/KDAFC

"Lagi. Rezeki dari ALLAH. Haaa ini jangan lupa. Jadi, tidak payah nak dengki dengan rezeki orang. Anggap saja itu rezeki dari ALLAH kepada dia. Apa sahaja orang itu dapat, beritahu pada hati ALLAH yang bagi pada dia.

"Setiap yang berlaku dengan izin ALLAH. Cable tak cable, orang dalam tak orang dalam, kawan tak kawan, cedera tak cedera, bagus tak bagus, kalau ALLAH tentukan jadi, maka jadilah ia," kongsinya.

Menjengah respons penyokong bola sepak di media sosial, ada di antara mereka memetik nama Akram Mahinan sebagai individu yang dimaksudkan apabila tahun ini pemain tengah itu berhasil menandatangani kontrak bersama Terengganu FC.

Nama bekas arkitek kebangsaan itu dipetik susulan Akram sebelum ini melalui fasa pemulihan yang lama bersama Kuala Lumpur (KL) City FC selepas mengalami kecederaan.

Jika dibandingkan musim 2022 yang menyaksikan Akram beraksi untuk 20 perlawanan Liga Super dan membantu KL City menjadi naib juara Piala AFC, pemain berusia 31 tahun itu hanya bermain selama 13 aksi Liga Super pada tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram