KEDAH Darul Aman (KDA) FC boleh diangkat sebagai antara pasukan pencabar musim ini dengan mereka berpeluang menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga.
Meskipun bergelut dalam Piala FA dan Piala Malaysia, skuad Sang Kenari memiliki rekod konsisten dalam liga dengan beberapa rekod memberangsangkan dicatatkan.
Kejayaan untuk menamatkan rentetan kemenangan Johor Darul Takzim (JDT) dan beberapa kemenangan bergaya merupakan antara contoh terbaik mengenai prestasi cemerlang pasukan berkenaan.
Bagaimanapun, pencapaian itu masih belum cukup bagi penyokong Hijau Kuning yang pastinya berharap mereka dapat menambah baik kedudukan tersebut musim depan.
Namun, harapan berkenaan pastinya sukar untuk dicapai sekiranya KDA FC tidak membuat pelaburan besar dengan membawa masuk pemain berkualiti pada jendela perpindahan akan datang.
Skuad Sang Kenari disingkirkan di peringkat awal Piala FA, Piala Malaysia serta MFL Challenge Cup. — Facebook/KDA FC
Walaupun skuad dimiliki ketika ini mempunyai kualiti tersendiri, beberapa posisi masih perlu diberikan perhatian jika mereka mahu bersaing dengan lebih bergaya.
Jadi, dalam merealisasikan cita-cita terbabit, kelab Utara tanah air tersebut difahamkan sudah mula membuat perancangan dengan percubaan untuk mendapatkan dua pemain diperlukan.
Berdasarkan ciapan wartawan tempatan, Fadhirul Suhaimi, skuad kendalian Nafuzi Zain dilaporkan sedang cuba mendapatkan khidmat pemain muda Kelantan FC, Fazrul Amir Zaman.
"Tonggak tengah Kelantan, Fazrul Amir atau lebih mesra disapa Ghaddar sahkan perlawanan berdepan PDRM malam ini (Ahad) sebagai perlawanan terakhirnya bersama The Red Warriors (TRW).
"Kedah, Sri Pahang dan Kelantan United difahamkan berminat untuk mendapatkan khidmat Ghaddar musim depan," tulisnya.
Kontrak Fazrul dengan Kelantan FC difahamkan sudah ditamatkan lebih awal. — Facebook/Kelantan FC
Khabar angin tersebut bukanlah sesuatu yang baharu apabila pemain berusia 23 tahun itu sebelum ini pernah dikaitkan dengan skuad Sang Kenari pada pertengahan musim.
Tiga gol dan satu bantuan jaringan dalam 20 penampilan Liga Super menyaksikan Fazrul mula dirisik beberapa pasukan dengan kebolehannya untuk beraksi dalam beberapa posisi juga satu ciri-ciri menarik buatnya.
Selain itu, KDA FC juga difahamkan sedang cuba mendapatkan khidmat seorang lagi pemain sayap, J Partiban yang beraksi bersama pasukan berkenaan secara pinjaman dari Kuala Lumpur (KL) City FC.
"Partiban sedang diperhatikan beberapa pasukan dengan majikan asalnya, KL City FC juga difahamkan sedang berusaha menawarkannya kontrak lanjutan.
"Pasukan lain yang difahamkan turut berminat mendapatkan khidmatnya ialah Sri Pahang FC, Kuching City FC serta Kedah yang difahamkan sudah membuat tawaran," ciap wartawan The Star, T Avineshwaran.
Partiban kini berjaya menghidupkan semula kariernya bersama skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Sepanjang separuh musim bersama skuad Sang Kenari, Partiban berjaya menjaringkan satu gol serta mencatatkan satu bantuan jaringan dalam tujuh penampilan Liga Super secara keseluruhan.
Pulangan tersebut di samping gaya permainannya yang memberangsangkan menjadikan pemain sayap terbabit dikaitkan sehingga membuatkan beberapa pasukan lain turut tertarik.
Pemain berusia 31 tahun itu sebelum ini memilih untuk menyertai pasukan Utara tanah air tersebut secara pinjaman dengan minit permainannya bersama skuad Warga Kota semakin terhad.
Usaha awal KDA FC itu dilihat berpunca daripada khabar angin mengatakan tonggak serangan kelab, Manuel Hidalgo sedang dirisik JDT, Selangor FC dan pasukan dari Indonesia.
Selain itu, prestasi tidak memberangsangkan daripada pemain sayap muda, Fayadh Zulkifli Amin turut mendesak langkah berkenaan dibuat supaya jentera pasukan tidak terjejas dalam saingan Liga Super 2024/25. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram