KELAB Liga Super, Selangor FC akhirnya berjaya mendapatkan pertahanan kental dari Uzbekistan iaitu Umar Eshmurodov.
Merupakan sebahagian daripada skuad Uzbekistan yang beraksi di Piala Asia 2023, Selangor sudah lama dikaitkan dengan pemain ini dan akhirnya mereka berjaya mengesahkan ketibaan pemain tersebut.
Menggantikan Yazan Al-Arab yang dilepaskan secara persetujuan bersama pada musim lalu, Eshmurodov merupakan rekrut pertama Gergasi Merah menjelang sepak mula Liga Super 2024/2025.
Untuk rekod, Selangor merupakan kelab luar Uzbekistan pertama buat Eshmurodov dengan bekas pemain Nasaf Qarshi itu cuma bermain di negaranya sepanjang karier.
Sebelum ini dia pernah mewakili kelab lain seperti Shurtan Guzar serta Pakhtakor Tashkent yang merupakan gergasi bola sepak Uzbekistan.
BACA LAGI: 'Sapa doh ke?', bintang HM dikhabarkan semakin hampir sertai TFC
Eshmurodov bermain setiap minit untuk Uzbekistan di Piala Asia 2023. — Agensi
BACA LAGI: Legenda 'double treble' & ex bos besar TFC calon heavyweight CEO baharu Kedah
Hasrat Eshmurodov untuk beraksi di luar negara tercapai apabila Selangor datang kepadanya dan merekrut pertahanan berusia 31 tahun itu.
"Secara jujurnya, saya menyimpan hasrat untuk beraksi bersama kelab di luar negara sejak dari dulu lagi. Selangor FC merupakan kelab pertama saya memilih untuk melebarkan sayap dalam karier bola sepak setelah 12 tahun beraksi di Uzbekistan dan saya yakin dengan keputusan ini.
"Saya berharap pengalaman luas beraksi di peringkat antarabangsa, baik untuk kelab mahupun untuk pasukan kebangsaan, Uzbekistan akan membantu saya membawa Selangor FC mencapai kejayaan untuk musim ini," kata Eshmurodov menerusi media rasmi Selangor FC.
Di peringkat antarabangsa, Eshmurodov telah melakukan 27 penampilan bersama Uzbekistan. Di Piala Asia 2023 pula, pemain itu menjadi nadi penting buat negaranya dalam misi ke suku akhir.
Eshmurodov bermain setiap minit bersama-sama Uzbekistan dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan serta aksi pusingan 16 pasukan terakhir menentang Thailand yang menyaksikan mereka menang 2-1.
Dia dijangka diturunkan sekali lagi apabila Uzbekistan berdepan tuan rumah Qatar pada perlawanan suku akhir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram