PERTAHANAN muda negara, Safwan Mazlan berharap tempatnya dalam skuad kebangsaan akan terjamin menjelang aksi penting Malaysia berdepan Oman.
Bakal berdepan Oman dalam aksi berganda untuk kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, pertahanan Terengganu FC itu mahu menjadikan panggilan pertamanya ke skuad kebangsaan cukup bermakna apabila boleh menyumbang kepada kejayaan negara.
Safwan mengakui yang dirinya perlu membuktikan kebolehan di depan jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon sebelum berjaya meloloskan diri ke skuad akhir yang akan dibawa ke Muscat, Oman.
"Saya tak pernah bayangkan akan dapat panggilan (skuad kebangsaan) sepantas ini. Pertama kali dipanggil, siapa yang tak gembira bukan? Sekarang, jangkaan daripada keluarga dan rakan-rakan akan lebih tinggi.
"Saya tahu ia bukannya mudah kerana pemain senior cukup bagus. Saya akan berusaha untuk dapatkan tempat tetapi saya juga mahu belajar daripada pemain-pemain hebat," kata Safwan.
BACA LAGI: Harimau Malaya bakal 'tempang' tanpa persiapan menjelang aksi bertemu Oman?
BACA LAGI: Ulang kesilapan di Qatar, pakar gusar apa nasib Harimau Malaya berdepan Oman
Safwan yang merupakan sebahagian daripada kumpulan pemain pertahanan tempatan Terengganu yang mencipta prestasi cemerlang pada musim lalu, ingin legasinya dalam skuad kebangsaan diteruskan di peringkat senior.
Sebelum ini, dia adalah sebahagian daripada ahli skuad bawah 23 tahun (B-23) Malaysia dan namanya dijangka akan terpahat dalam panggilan Juan Torres Garrido untuk Piala Asia B-23 pada April kelak.
Pemain berusia 21 tahun itu jelas sekali ingin menonjolkan kehebatannya sebagai pemain di depan Pan-gon. Walaupun masih muda, dia mahu buktikan yang usia bukan penghalang untuk dia hasilkan permainan yang matang sekali gus menjaga barisan pertahanan negara.
Kematangan itu boleh disaksikan dari segi versatilnya Safwan beraksi di pelbagai posisi di bahagian pertahanan.
"Versatil adalah aset saya tetapi saya paling gemarkan beraksi di posisi pertahanan tengah. Ia lebih mudah untuk beraksi di situ, malah saya bermain di posisi tersebut paling kerap pada musim lalu.
"(Posisi) itu begitu sesuai dengan corak permainan saya. Selain itu, kekuatan fizikal saya turut membantu bahagian pertahanan.
"Saya harap nama saya akan terpilih untuk berdepan Oman. Sekiranya ia terjadi, impian saya akan menjadi kenyataan," ujarnya. — THE STAR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram