KEPULANGAN Cristiano Ronaldo ke Manchester United pada musim 2021/22 tidak membuahkan hasil meskipun penyerang itu cukup berbahaya di hadapan pintu gol.
Dia yang cukup disanjung penyokong skuad The Red Devils sering dilabel 'kambing hitam' atas isu prestasi tidak menentu dialami mereka, lebih-lebih lagi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Berdasarkan laporan media Eropah, keengganan pemain antarabangsa Portugal tersebut untuk membantu pasukan sering menyebabkan benteng pertahanan mereka mudah dibolosi.
Namun, bagi sesetengah pihak lain, masalah taktikal yang diterapkan Manchester United ketika keberadaannya boleh dianggap punca di sebalik kemelut pasukan.
Tetapi, menurut pengendali pasukan ketika itu, Ole Gunnar Solskjaer, peluang mendapatkannya pada musim berkenaan terlalu sukar ditolak meskipun tahu akan risiko bakal dihadapi.
BACA LAGI: [VIDEO] Pep Guardiola terkejut 'budak milo' Manchester City jaring gol debut dalam perlawanan UCL
Ole dipecat pada 2021 berikutan prestasi tidak menentu dialami skuad The Red Devils.
"Ia adalah satu keputusan terburu-buru untuk mendapatkannya kerana pada awalnya, kami beranggapan Cristiano tidak boleh didapatkan dari Juventus.
"Namun, setelah dilaporkan dia bersedia meninggalkan kelab Itali itu, kami mula sedar akan peluang mendapatkannya sukar diketepikan," katanya dalam satu sesi temu bual The Overlap.
Cristiano hadir ketika musim ketiga Ole bersama skuad The Red Devils dengan harapan kemasukannya dapat menambah kekuatan jentera serangan pasukan.
Sekiranya dilihat, cita-cita itu berjaya dicapai dengan kehadiran kapten Portugal terbabit menjaringkan 27 gol dalam kesemua kejohanan dalam tempoh semusim setengah.
BACA LAGI: Haaland tidak gembira di Manchester, kelab EPL tarik nafas lega
Cristiano sering dilabel punca di sebalik isu prestasi dialami Manchester United. — Agensi
Tambah Ole lagi, perbezaan dari segi gaya permainan Cristiano Ronaldo memaksanya untuk melakukan perubahan akan gaya permainan serta taktikal pasukan.
"Ketika kami memegang bola, tiada masalah. Namun, ketika dia sertai kami, cara pasukan mendapatkan semula bola terpaksa diubah.
"Manchester United sudah melepaskan (Dan) James untuk membawa masuk Cristiano yang merupakan pemain dengan gaya berbeza. Ia adalah keputusan tepat untuk saya pada awalnya, tetapi ia tidak menjadi pada akhirnya," kata pengurus dari Norway itu.
Kini, pemenang Ballon d'Or itu beraksi dalam Liga Pro Arab Saudi bersama Al-Nassr sementara Ole tidak terikat dengan mana-mana pasukan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram