LAPAN pemain baharu sudah diumumkan Sri Pahang FC setakat ini dengan ia selari dengan penegasan pengurus pasukan, Datuk Dollah Salleh yang percaya mereka mampu menjadi pencabar musim depan.
Namun, dalam kalangan rekrut baharu itu, hanya dua daripada mereka iaitu Mykola Ahapov dan Manuel Hidalgo merupakan bintang import.
Meskipun pasukan berkenaan sudah kian lengkap ketika ini, kekurangan pemain luar negara akan memberi kesan kerana kualiti mereka jauh meninggalkan pemain lokal.
Bagaimanapun, berdasarkan maklumat diperoleh, skuad Tok Gajah sebenarnya sudah memiliki seorang lagi import baharu yang beraksi di posisi pertahanan.
Tonggak pertahanan kelahiran Serbia, Aleksander Cvetkovic yang kini beraksi di liga bawahan Switzerland bersama FC Aarau dikhabarkan sudah sah direkrut Sri Pahang FC.
BACA LAGI: Dah banyak kali cakap', Fandi Ahmad tak gembira prestasi Sri Pahang menurun setiap kali '2nd half'
Brundo (depan) merupakan bek tengah utama skuad Tok Gajah ketika ini. — Facebook/Sri Pahang FC
Tetapi, setakat ini, perpindahan terbabit masih belum disahkan meskipun kelabnya itu sudah memberikan kata-kata penghargaan atas jasanya selama dua tahun.
Bagi majoriti penyokong skuad Tok Gajah, kehadiran bek tengah itu cukup diraikan kerana dia mampu diletakkan dalam barisan pertahanan yang sudah dibintangi pemain seperti Stefano Brundo dan Fadhli Shas.
Namun, ada segelintir peminat setia kelab berkenaan seolah-olah bimbang setelah mendapati Aleksander lebih kerap memanaskan bangku simpanan bersama FC Aarau musim lalu.
Malah, ada dalam kalangan peminat sejati Sri Pahang mula pantas mengorek informasi berkaitan pertahanan import itu yang dilihat tidak begitu impresif.
Berdasarkan statistik dalam laman sesawang transfermarkt, pemain berusia 28 tahun tersebut kurang diberikan peluang pada penghujung saingan liga.
Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai keputusan kelab Switzerland itu menggugurkannya tidak dikongsikan secara mendalam dengan isu kecederaan mungkin boleh menjadi isu utama.
BACA LAGI: Idola baharu Sri Pahang 'bahan' kredibiliti Sergio Aguero
Martial (kiri) hanya beraksi beberapa kali buat skuad Tok Gajah sebelum ini. — Facebook/Sri Pahang FC
Lebih menarik perhatian lagi, kali terakhir dia berada dalam kesebelasan utama menyaksikan FC Aarau tewas kepada FC Sion dengan keputusan 0-2 di tempat lawan pada 2 Februari.
Dalam saingan liga Switzerland, Cvetkovic cuma diturunkan sebanyak 15 kali daripada 26 perlawanan dengan kehadirannya membantu kelabnya meraih tempat keempat.
Situasi tersebut pasti merisaukan kerana skuad Tok Gajah perlu memberi kepercayaan penuh terhadap pemain import sepanjang musim jika mahu mencabar kejuaraan.
Jika dilihat kepada situasi terdahulu, Sri Pahang pernah berdepan situasi sama, iaitu ketika merekrut Johan Martial yang hanya beraksi beberapa kali sebelum memanaskan bangku simpanan.
Kehadirannya menjadi bahan bualan hangat kerana dia merupakan abang kepada bintang Manchester United, Anthony Martial selain berpengalaman beraksi dalam liga utama Perancis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram