Baju latihan Terengganu diciplak, Al-Ikhsan tak lantik ejen, lambang jadi bukti jersi ori


  • Podium
  • Ahad, 03 Mac 2024

Pakaian latihan skuad Sang Penyu untuk tahun ini dipuji atas reka bentuknya yang menarik dan futuristik. — Facebook/Terengganu FC

ISU jersi cetak rompak yang melanda arena bola sepak hari ini masih belum dihapuskan apabila masih terdapat kelab tempatan terkesan dengan perkara tersebut.

Baru-baru ini, naib juara Piala Malaysia 2023, Terengganu FC menjadi mangsa terbaharu dengan corak dan reka bentuk jersi latihan ditiru pihak tidak bertanggungjawab.

Malah, penjualannya juga dibuat secara terbuka menerusi akaun Facebook Sepak Bola yang dilihat menerima sambutan hangat daripada orang ramai.

Melihat kepada jersi yang dijual, ia seakan-akan pakaian latihan skuad Sang Penyu dengan hanya kolar dan tulisan '11 Black White' ditambah di bahagian dada.

Harganya yang murah serta rekaan menarik membuatkan ramai peminat bola sepak tertarik untuk membelinya meskipun tahu ia merupakan barangan cetak rompak.

Namun, masih terdapat sebahagian pihak masih cakna akan penjualan pakaian berkenaan yang dirasakan melanggar hak milik Terengganu FC.

BACA LAGI: Bek tengah Belanda dedah pindah ke Terengganu demi capai impian bersama Indonesia

430159247_371318319158319_9037932258918234757_n

Barangan menyerupai jersi latihan Terengganu dijual di laman media sosial. Facebook/Sepak Bola

BACA LAGI: 'Mungkin rindu nasi dagang', usia tak tutup pintu kepulangan Lee Tuck ke Terengganu

Jadi, untuk mendapatkan kepastian mengenainya, seorang pengguna Facebook, Hanif Hanif bertindak menghubungi pihak pengeluar jersi latihan kelab, Al-Ikhsan Sports.

Berdasarkan penjelasan dikeluarkan, produk dijual Sepak Bola itu bukanlah barangan keluaran syarikat tempatan tersebut.

"Tentang pertanyaan anda, kami tiada sebarang ejen dan baju Rasmi Terengganu FC yang tulen harus terdapat lambang AL / ALX dan hanya dijual di laman sesawang rasmi dan cawangan Al Ikhsan Sports atau Football Republic.

"Atau anda juga boleh bertanyakan juga tentang berikut ke Terengganu FC. Jika anda mempunyai sebarang soalan mengenai produk atau perkhidmatan kami, jangan ragu untuk menghubungi nombor khidmat pelanggan kami," tulis Pegawai Khidmat Pelanggan Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Fakhreen Zulkifli.

Ia sekali gus membuktikan bahawa produk dijual atas talian itu cetak rompak meskipun reka bentuk serta corak pakaian tersebut sudah diubah.

Sehingga kini, Terengganu FC masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan meskipun majoriti daripada penyokong sudah mendesak tindakan tegas diambil.

Selain kit latihan skuad Sang Penyu, akaun Sepak Bola turut menyediakan khidmat penjualan jersi kelab ternama EPL seperti Arsenal dan Manchester United. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram