GELAGAT bekas penyerang Manchester City, Mario Balotelli mencuri tumpuan penyokong selepas tindakan berani yang dilakukan di dalam bilik persalinan tular di laman sosial.
Terkenal dengan beberapa aksi pelik di dalam dan di luar padang bola sepak, nampaknya bekas bintang Manchester City itu kembali melakukan muslihat lamanya dan kali ini dilihat mempermainkan rakan sepasukannya yang baharu.
Menerusi video yang berdurasi lapan saat itu, Ballotelli dengan tidak rasa bersalah dilihat membakar bunga api sebelum melemparkannya di bilik persalinan kelab Turki, Adana Demirspor sambil menutup telinganya.
BACA LAGI: 'Kembar' Selangor FC jadi pilihan Balotelli lepas sah tinggalkan Kedah
Penyerang Itali berusia 33 tahun itu, yang sebelum ini pernah bermain untuk kelab elit Eropah seperti Inter Milan dan Manchester City, membuatkan rakan sepasukan dan kakitangannya terpegun ketika dia dengan santai menyalakan dan melemparkan bunga api ke bilik persalinan semasa berehat seketika.
Tindakan berani penyerang Adana Demirspor itu meraih dua juta jumlah tontonan di laman X.
Pastinya telatah Balotelli tersebut mengekalkan reputasinya sebagai budak nakal terkenal bola sepak.
Balotelli kini bermain untuk Adana Demirspor dalam Liga Super Turki dan telah menjaringkan lima gol dalam sembilan penampilan musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram