[VIDEO] Pep Guardiola terkejut 'budak milo' Manchester City jaring gol debut dalam perlawanan UCL


  • Podium
  • Khamis, 14 Dis 2023

Hamilton menjaringkan gol debut bersama Man.City ketika menewaskan Red Star Belgrade pada awal pagi Khamis.

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola bagai tidak percaya selepas mengetahui pemain muda Manchester City, Micah Hamilton adalah 'ball boy' untuk The Citizens pada 2017.

Hamilton menjaringkan gol debut pada penampilan pertama bersama skuad senior Man.City dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Red Star Belgrade pada awal pagi Khamis.

Dalam perlawanan itu, anak-anak buah Guardiola berjaya menewaskan pasukan tuan rumah dengan keputusan 3-2 dan menamatkan saingan tanpa tewas dalam enam perlawanan untuk layak ke pusingan seterusnya.

Selepas tamat perlawanan, pengendali kelahiran Sepanyol itu ditunjukkan gambarnya bersama Hamilton di Stadium Etihad pada 2017.

Pemain muda berusia 20 tahun itu antara 'ball boy' yang diberi arahan oleh Guardiola untuk membantu pasukan untuk memulakan lontaran bola dengan pantas.

Namun Guariola tidak mengingati peristiwa dan terkejut apabila melihat imej pada 2017 itu.

"Saya tidak tahu! enam tahun lalu? Wow!.

"Jaringan yang menakjubkan, saya sangat gembira untuk dirinya.

"Dia (Hamilton) turun berlatih bersama kami, kami nampak skilnya ketika menghadapi cabaran satu lawan satu dan dia menjaringkan gol cantik.

"Bila dia tidak mampu menewaskan cabaran satu lawan satu dia akan membuka permainan, cara dia bertahan juga sangat agresif," " kata Guardiola selepas melihat gambarnya bersama Hamilton.

Selain Hamilton, seorang lagi pemain muda, Oscar Bobb turut mencetak nama selaku penjaring dan pemain kebangsaan England, Kalvin Phillips juga meledak menerusi sepakan penalti.

Man.City mencatatkan kemenangan bersih dalam kesemua perlawanan UCL dan merekodkan 18 mata. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram