Masih di awal liga, Kedah, TFC mula intai peluang rekrut 2 bintang import Kelantan FC


  • Podium
  • Ahad, 12 Mac 2023

Kesebelasan utama Kelantan FC ketika bertemu Penang FC pada minggu lalu. — Facebook/Kelantan FC

SELEPAS mengharungi empat perlawanan, Terengganu FC akhirnya meraih kemenangan sulung dalam kempen Liga Super 2023 dengan mengatasi PDRM FC yang beraksi dengan 10 pemain 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Sabtu.

Pada pertembungan itu, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama dengan penjaga gol PDRM, Mohamad Ramdhan Ab Hamid dilayangkan kad merah selepas mengasari penyerang tuan rumah Jordan Mintah menghampiri waktu rehat.

Beraksi dengan 10 pemain ternyata memberi kesan kepada PDRM yang bertungkus lumus mempertahankan gawang daripada dibolosi, namun Terengganu tetap berjaya meledak gol kemenangan menerusi Sardor Kulmatov pada minit ke-76.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat sekali gus menghadiahkan tiga mata buat skuad kendalian Tomislav Steinbruckner.

Namun kemenangan skuad Penyu itu masih dipersoal oleh penyokong Terengganu FC kerana rekod jaringan gol yang tidak begitu baik oleh pasukan tuan rumah.

Adisak Kraison (kanan). Facebook/Terengganu FC

Malah seorang penyokong, Jay Thai di Facebook mendakwa pasukan Terengganu mahu membuat pertukaran pemain import dengan pasukan jiran, Kelantan FC.

Menurutnya pihak pengurusan Terengganu FC berminat untuk mendapatkan pemain import Kelantan kelahiran Sepanyol, Jose Cifuentes atau dikenali sebagai Cifu.

"Terengganu FC sedia loan Adisak Kraison atau pertukaran pemain.

"Terengganu FC dikhabarkan berminat untuk mengambil Cifu," ujarnya di Facebook.

Malahan dia turut berkata, pihak pengurusan Kedah Darul Aman (KDA FC) berminat untuk membawa masuk pemain import pertahanan Kelantan, Carli de Murga dengan pertukaran Lee Tuck.

"Di khabarkan Kedah mahu loan Lee Tuck, pertukaran pemain dengan de Murga," jelasnya.

Lee Tuck

Lee Tuck. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Menerusi komen penyokong-penyokong pasukan Kelantan mereka dilihat tidak bersetuju jika dua bintang import mereka berhijrah ke pasukan lain.

"Mana boleh, baru berapa game nak dapat keserasian nanti terjejas pula taktikal pasukan," ujar Man Rasid.

"Senanglah macam itu, kita dapat pemain bintang yang power, team lawan senang-senang nak minta tukar dengan pemain yang tak on form," luah Hamzah Arif.

"Tak setuju kalau bagi Lee Tuck atau Adisak sebab dah ternyata dua pemain ini masih tak dapat lakukan apa-apa impak kepada pasukan masing-masing," kata Ghaffar Yahya.

Kemenangan skuad Penyu itu berjaya memanjat keluar daripada kedudukan tercorot ke posisi keenam liga dengan mengumpul empat mata manakala PDRM yang berkongsi mata sama di tempat ketujuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram