Bas lama milik Kelantan tersadai, penyokong terkenang era kegemilangan TRW


  • Podium
  • Isnin, 02 Okt 2023

Kelantan FC pernah meraih gelaran treble pada 2012. — Agensi

SATU masa dahulu, Kelantan FC pernah melalui zaman gemilang mereka. Era awal 2010-an menjadi saksi kehebatan The Red Warriors (TRW) menjajah bola sepak Malaysia.

Ketika itu, tiada siapa mahu menentang Kelantan, jika bertemu pasti akan tumbang kepada mereka. Di peringkat Asia, mereka juga turut bermain baik hingga berjaya sampai ke suku akhir Piala AFC.

Gelaran treble yang diraih TRW pada 2012 kekal menjadi detik terindah dalam bola sepak Kelantan. Badhri Radzi, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohamad Ghaddar antara nama-nama yang menjadi punca kecemerlangan pasukan Pantai Timur pada waktu itu.

Akan tetapi, segalanya mula merudum dari tahun ke tahun. Isu pengurusan yang tidak cekap, masalah gaji mula mencengkam pasukan lalu memberi kesan kepada prestasi.

kelantan-juara-piala-malaysia-2012

Kelantan pernah meraih gelaran treble pada 2012. — Agensi

Keadaan Kelantan semakin kronik hinggalah pemilik baharu iaitu Norizam Tukiman atau Zamsaham datang mengambil alih pemilikan kelab.

Segalanya tampak baik buat mereka apabila beraksi di Liga Premier terutamanya ketika musim 2022, prestasi mula pulih dan penyokong kembali memenuhi Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. Hasil daripada itu, Kelantan berjaya mara ke Liga Super secara merit sebagai naib juara.

Namun, semuanya kembali sukar. Kelantan kembali dihimpit dengan pelbagai masalah baik melibatkan prestasi pasukan atau isu di luar padang.

Baru-baru ini, tular sebuah gambar di media sosial sebuah bas yang pernah digunakan oleh Kelantan kini tersidai tidak digunakan.

Tersidainya sebuah bas yang pernah membawa bintang-bintang TRW itu seolah-olah simbolik kepada kejatuhan Kelantan ketika ini sebagai pasukan.

Bukan sedar itu, ia turut menjadi alat imbauan buat penyokong-penyokong Kelantan mengenang kegemilangan masa lalu.

"Apabila orang-orang di atas tak pandai urus kewangan kelab, akhirnya pasukan yang hebat suatu ketika dulu kini tinggal kenangan saja," kata penyokong bernama Amir Zizan.

"Gunakan semula, sayang ke barang tu. Banyak kenangan manis," ujar Zahydeen El Ibrahiem.

"Pernah jadi satu legenda satu ketika dulu," komen Amirul Haziq Salman.

Melihat kepada bas yang tidak digunakan itu, ada penyokong mencadangkan agar ia digunakan untuk tujuan lain.

"Beli lepas tu buat kafe pun bagus," kata Azuan Aziz.

"Bagi kepada sayalah bas tu, boleh saya gunakan untuk buat pusat bekam bergerak," ujar Mohd Adzha Muhammad Buyu.

"Buka kedai burger dalam ni best ni," cadang Faisal Salleh.

Kelantan kini berada di zon bawahan Liga Super selepas hanya mampu mengutip dua kemenangan sepanjang musim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram