Puas raih 3 mata pertama, Ayon harap kekal momentum menjelang aksi Selangor-JDT


  • Podium
  • Ahad, 03 Mac 2024

Ayon menjadi watak penting ketika menundukan KL City sambil mengenakan jersi baharu berlogo Yoodo selaku penaja utama Selangor FC. — Instagram/asiana.my

PASUKAN futsal Selangor masih bergelut dalam saingan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) selepas mengalamai dua kekalahan pada awal musim.

Bagaimanapun, mereka seakan-akan sudah menemui rentak setelah meraih kemenangan pertama ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC pada Sabtu.

Dalam perlawanan berlangsung di Kompleks Sukan Nasional (KSN) Panasonic, Shah Alam, Selangor, anak-anak buah Edgar Baldasso menundukkan lawan mereka 6-1.

Tiga mata dikutip itu pastinya penting buat Selangor yang kini melonjak ke kedudukan kelima daripada lapan pasukan setakat tiga perlawanan.

Namun, cabaran besar menanti pasukan Lembah Klang itu kerana bakal berdepan pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas ini.

BACA LAGI: Kehadiran 14 bintang import bantu kembangkan bakat tempatan — FAM

9AyonHome-8

Ayon memainkan peranan penting buat Selangor setakat tiga perlawanan MPFL 2024. — Instagram/asiana.my

Skuad Harimau Selatan yang mencatatkan kemenangan dalam kesemua perlawanan pasti sukar dibendung dengan mereka amat cemerlang dari segi serangan mahupun pertahanan.

Bagi tonggak Selangor FC, Khairul Effendy Bahrin, persiapan terbaik perlu dibuat selain berharap perancangan rapi boleh dibuat pihak kejurulatihan.

"Apa yang coach Edgar beritahu sebentar tadi adalah kami akan kembali berlatih pada Isnin dan berehat pada hujung minggu sebelum fokus berdepan JDT.

"Jadi, kami harap coach Edgar tahu apa perlu dilakukan ketika bertemu JDT dan harapnya semua pemain berada dalam keadaan fizikal dan mental yang bersedia," katanya.

BACA LAGI: JDT tiada simpati ratah Terengganu dalam aksi MPFL

429938070_345744748459498_2746924333559344570_n

Skuad Harimau Selatan kini berada di tangga teratas MPFL 2024 selepas tiga perlawanan. — Facebook/JDT Futsal

Dalam aksi berdepan KL City FC, Khairul Effendy atau lebih dikenali sebagai Ayon menjaringkan dua gol masing-masing pada minit ke-33 dan ke-35.

Ia pasti menyuntik semangat buat pasukan berkenaan yang kini hanya dibezakan satu mata berbanding Shah Alam City di kedudukan keempat.

Tambahnya lagi, perlawanan menentang JDT yang dijadualkan berlangsung pada bulan Ramadan juga akan memberi cabaran buat kedua-dua pasukan.

"Ketika aksi itu pun, kita sudah berpuasa beberapa hari jadi, harapnya dapat menyesuaikan diri. Tambahan pula, kita akan berdepan JDT di Pasir Gudang, memang kelebihan kepada mereka. Tetapi, ini futsal. Jadi, apa-apa sahaja boleh terjadi," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram