PELEDAK dari Brazil, Jonathan Boareto dos Reis difahamkan sudah meninggalkan Kedah Darul Aman (KDA) selepas setahun menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2023 bersama pasukan berpangkalan di Utara tanah air berkenaan.
Perpisahannya diketahui selepas pemain yang sering berperanan sebagai penyerang kedua Kedah itu mengumumkan pasukan baharunya untuk saingan musim baharu ini.
Pemain dikenali dengan nama Jonathan Balotelli itu menerusi Instagram peribadinya memuat naik gambar menyarung jersi merah kuning sambil menulis kapsyen 'seronok dapat kembali berkhidmat di negara yang banyak berikan saya kegembiraan’.
Pasukan yang memiliki warna mirip dengan Selangor FC itu adalah kelab divisyen satu Macedonia, FK Makedonija G.P dan ia merupakan majikan kedua Balotelli selepas kali pertama berkhidmat di negara berkenaan bersama Vardar Skopje pada musim 2016.
Hantaran terbaharu Balotelli berkenaan menjawab persoalan penyokong yang tertanya-tanya sama ada penyerang tinggi lampai itu masih berada dalam perancangan pasukan Hijau Kuning pada musim ini ataupun sebaliknya.
BACA LAGI: Khamal Idris sahkan Kedah dah ada senarai 'dream team', bakal penaja
Balotelli menyarung jersi nombor 89 di kelab baharunya itu. — Instagram/Balotelli
Balotelli hadir ke kem Darul Aman dengan pencapaiannya bersama Jeonnam Dragons pada musim 2021-2022, yang mana pemain berusia 34 tahun berkenaan meledak 29 gol dalam 31 penampilan untuk kelab Korea Selatan divisisyen kedua itu.
Bersama Kedah pula, Balotelli hanya meledak empat jaringan gol dalam 20 penampilan Liga Super dengan merakam 388 minit permainan bersama pasukan kendalian Nafuzi Zain.
Penghijrahan Balotelli ke FK Makedonija semakin memberi menjawab persoalan penyokong KDA FC berhubung rombakan pemain bagi saingan musim 2024 ini.
Rombakan berkenaan juga selari dengan perkongsian Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris sebelum ini, yang mana sudah mempunyai senarai pemain impian untuk dibawa masuk ke kem Kedah.
Namun sehingga kini wajah baharu yang bakal menyarung jersi Hijau Kuning tersebut masih belum boleh dikongsikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram