BEKAS penyerang Manchester City, Mario Balotelli dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan yang melibatkan kereta jenis Audi Q8 terbabas ke sebuah tembok di Brescia, Itali.
Insiden berkenaan difahamkan terjadi pada Khamis lalu selepas penyerang terbabit gagal mengawal kenderaan dipandu meskipun tiada pengguna jalanraya lain berdekatan.
Kemalangan tersebut menyebabkan kereta bernilai kira-kira RM580,000 (£100,000) hancur, namun beg udara menyebabkan Balotelli tidak mengalami kecederaan serius.
Bagaimanapun, nama pemain 33 tahun itu hangat diperkatakan selepas dia enggan memberi kerjasama ketika petugas keselamatan mahu menilai tahap alkohol dalam badannya.
Meskipun sebelum ini tidak pernah terlibat dengan isu memandu ketika di bawah pengaruh alkohol, Balotelli pernah beberapa kali terpalit dengan kontroversi berkaitan pengambilan barang terlarang berlebihan.
Balotelli si è schiantato a Brescia, fortunamente non si è fatto niente. #balotelli #Mariobalotelli #brescia @TheSportsWear pic.twitter.com/u7WPyKVYWU
— TheStreetWear (@Run4Food_Italia) November 23, 2023
Setakat ini, penyerang yang beraksi di Liga Turki bersama Adana Demirspor itu difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan parah.
Tetapi, nasib malang masih menimpa dirinya apabila polis Itali bertindak menarik lesen memandunya atas tindakan menolak arahan untuk menggunakan alat 'breathalyzer'.
Selain pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Manchester City, pemain tersebut juga pernah menyertai Liverpool untuk semusim.
Kariernya yang pernah diangkat sebagai antara prospek terbaik dalam dunia bola sepak kian pudar selepas dia sering dikatakan mempunyai masalah disiplin.
Di samping itu, Balotelli juga kerap terpalit dengan kontroversi di luar padang sehingga menyebabkannya terpaksa menyertai beberapa kelab kecil dalam tahun-tahun kebelakangan ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram