PERTAHANAN muda Selangor FC, Harith Haiqal mengakui yang dia terkejut apabila namanya tersenarai dalam panggilan skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon.
Pertahanan tengah berusia 21 tahun itu menerima kejutan pada awal musim apabila dia disenaraikan dalam 33 nama untuk ke kem latihan pusat skuad kebangsaan menjelang aksi berganda kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman bulan ini.
Harith yang kini bersama-sama skuad Gergasi Merah melakukan latihan pra-musim di Bangkok, Thailand mengakui panggilan tersebut adalah satu kejutan yang amat manis buatnya.
Hal ini kerana, Harith hanya berasakan dirinya cuma layak untuk beraksi bersama-sama skuad bawah 23 tahun (B-23). Oleh itu, dia tidak mahu melepaskan sebarang peluangu untuk menembusi pasukan senior.
BACA LAGI: Sri Pahang antara 3 kelab bernafsu sailang Ifedayo sebelum sah 'digari' The Cops
Dalam skuad B-23, Harith merupakan nadi utama pertahanan skuad kendalian Juan Torres Garrido dengan pemain itu sering bergandingan dengan pemain Terengganu FC iaitu Ubaidullah Shamsul.
"Ia adalah satu kejutan yang manis. Sebelum ini, saya cuma bayangkan tugasan antarabangsa saya cumalah bersama skuad B-23 kerana kita sedang mempersiapkan diri untuk Piala Asia.
"Saya akan hargai peluang besar ini untuk berlatih bersama-sama skuad senior selepas dipanggil buat kali pertama," kata Harith.
Pertahanan tengah itu juga mengatakan akan mengambil kesempatan berada dalam skuad senior untuk belajar dan kutip pengalaman sebanyak mungkin daripada pemain sedia ada.
Nama-nama seperti Dion Cools, Shahrul Saad serta rakan sepasukan Harith di Selangor iaitu Sharul Nazeem akan dijadikan 'guru' buat Harith supaya dapat biasakan diri dengan cepat dalam skuad senior.
"Mereka mempunyai pengalaman luas untuk dikongsikan dengan pemain muda dan saya teruja untuk berlatih dengan mereka.
"Berlatih di bawah kendalian Kim Pan-gon adalah satu movitasi yang cukup besar buat saya," ujar Harith. — THE STAR/T. AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram