Dari Aarau ke Darul Makmur, Pahang kini miliki bek import baharu


  • Podium
  • Selasa, 05 Mac 2024

Skuad Tok Gajah semakin bersedia untuk mengharungi saingan musim depan yang semakin mencabar. — Facebook/Sri Pahang FC

SKUAD Tok Gajah kini berada dalam landasan terbaik untuk menjadi pencabar Liga Super setelah membawa masuk beberapa pemain baharu.

Perancangan itu selari dengan harapan penyokong serta pihak pengurusan yang mahu memberi cabaran setalah bertahun-tahun kualiti mereka dipertikaikan.

Dua penyerang sayap, T Saravanan dan Sean Selvaraj merupakan antara nama yang bakal mewakili Sri Pahang FC musim depan dalam misi memperkuatkan barisan serangan.

Malah, kelab Pantai Timur berkenaan turut membuktikan keazaman mereka pada jendela perpindahan ini dengan menyambar khidmat pemain dari Ukraine, Mykola Ahapov.

Tidak lama selepas itu, Sri Pahang FC turut dilaporkan menyambut kepulangan penyerang sayap, Manuel Hidalgo yang berhijrah dari Johor Darul Ta'zim (JDT) secara pinjaman.

Usaha tersebut tidak terhenti di situ apabila baru-baru ini, skuad kendalian Fandi Ahmad itu disebut-sebut bakal menerima sentuhan seorang lagi import.

BACA LAGI: Sri Pahang berwajah baharu, mesin gol JDT antara 3 bekas bintang Liga M jadi idaman

BACA LAGI: Bukan sahaja JDT, Sri Pahang turut dianggap mahu berjimat tapi 2 'lord' masih kekal

Pemain Serbia, Aleksandar Cvetkovic dikhabarkan akan diumumkan sebagai rekrut baharu menurut laporan kelab semasanya, FC Aarau yang beraksi dalam divisyen kedua Switzerland.

"Pertahanan kami, Aleksandar Cvetkovic akan meneruskan kariernya bersama Sri Pahang FC dalam Liga Super Malaysia. Terima kasih atas perkhidmatan dan semoga maju jaya di sana," katanya.

Bek tengah berusia 28 tahun itu beraksi bersama kelab terbabit untuk dua musim bermula 2022 dengan dia membantu kelabnya menamatkan saingan tahun lalu di tangga keempat.

Selain pernah beraksi buat FC Aarau, pemain berkenaan pernah mewakili beberapa kelab lain, termasuk Grasshoppers di Switzerland dan BSK Borca di Serbia.

Sekiranya Cvetkovic diumumkan sebagai pemain baharu skuad Tok Gajah, mereka kini sudah memiliki enam import dengan beberapa lagi boleh disambar pada jendela perpindahan kali ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram