Tonggak HM puas raih gol sulung aksi musim 2023 bersama Sri Pahang


  • Podium
  • Sabtu, 04 Mac 2023

Aguero (tiga dari kiri) menjaringkan gol pertamanya dalam Liga Super musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC

KAPTEN Sri Pahang FC, Sergio Aguero mengakui bahawa dia berpuas hati selepas mendapatkan jaringan sulung untuk kempen Liga Super 2023.

Menariknya, gol yang diperolehi ketika berdepan Kelantan FC itu merupakan jaringan pertamanya sebagai pemain tempatan selepas memperolehi status naturalisasi September tahun lalu.

"Perasaan yang sangat bagus dan saya sangat gembira kerana menjaringkan gol sebagai pemain tempatan Sri Pahang FC. Kami akan cuba terus melakukannya dan meningkatkan lagi momentum untuk meraih tiga mata," katanya.

Bagaimanapun, pemain skuad kebangsaan itu berasakan masih banyak 'kerja rumah' yang perlu dilakukannya dan rakan sepasukan sekiranya mahu melihat pasukan Pantai Timur itu untuk menjadi salah sebuah pasukan pencabar musim ini.

329018938_5626774077425633_3361380423182463253_n

Aguero (kanan) diberikan kepercayaan untuk memakai lilitan kapten ketika berdepan Kelantan FC. Facebook/Sri Pahang FC

Dalam pertembungan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Pahang pada Khamis itu, skuad kendalian Fandi Ahmad membawa pulang tiga mata berharga selepas menundukkan Kelantan FC 4-1.

Kesemua jaringan Sri Pahang FC dihasilkan pada separuh masa pertama perlawanan menerusi Kpah Sherman, Kevin Ingreso, Aguero dan Stefano Brundo.

Bagi skuad The Red Warrior (TRW) pula, gol saguhati dijaringkan pemain import kelahiran Sepanyol, Miguel Cifuentes beberapa minit sebelum wisel penamat ditiup.

Skuad Tok Gajah bakal berdepan cabaran getir pada Ahad apabila mereka bakal menerima kunjungan pasukan di tangga kedua Liga Super, Selangor FC di laman sendiri. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram