Sri Pahang dikhabar salin 7 pemain tapi kepulangan Manuel Hidalgo jadi penantian


  • Podium
  • Isnin, 30 Okt 2023

Sergio Aguero (kiri) antara pemain Sri Pahang yang dikhabar akan menerima tawaran ke Liga 1 Indonesia. — Facebook/SriPahang

DARI segi kedudukan Liga Super, prestasi Sri Pahang FC musim ini bukanlah berada pada tahap kurang memuaskan namun ia masih belum memuaskan hati penyokong yang mana ingin menyaksikan pasukan Tok Gajah merangkul sekurang-kurangnya satu piala.

Namun hasrat tersebut sudah terkubur apabila sudah terlepas Piala FA, Piala Malaysia dan mungkin juga terlepas slot ke kejohanan Piala AFC musim depan kerana jauh ketinggalan untuk melepasi Selangor di kedudukan kedua dengan 52 mata.

Kelab Pantai Timur itu kini memungut 44 mata setakat 22 aksi Liga Super dengan menyaksikan skuad Tok Gajah memenangi 13 perlawanan, merekodkan lima seri dan terpaksa akur dengan empat kekalahan.

Situasi prestasi tidak memuaskan skuad Tok Gajah itu membuatkan ada penyokong mula menuding jari kepada barisan pemain termasuklah tonggak import, yang menyifatkan ada dalam kalangan mereka masih menampilkan persembahan di bawah par.

Oleh itu tidak hairanlah jika sudah mula timbul khabar angin yang mengatakan Sri Pahang akan mengambil inisiatif baharu dengan membuat beberapa rombakan bagi saingan musim depan dan diharap perubahan itu dapat memberi impak positif kepada mereka.

Menerusi khabar angin yang tersebar di media sosial, skuad Tok Gajah dikatakan akan menyalin empat tonggak import dan tiga pemain tempatan menjelang jendela perpindahan pada musim depan nanti.

hidalgo

Hidalgo sudah mencetak tiga jaringan dan 10 hantaran bantuan untuk KDA FC musim ini. — Facebook/KDAFC

Nama pemain yang dikhabar akan meninggalkan Sri Pahang bagaimanapun tidak diketahui lagi namun ramai penyokong Tok Gajah berharap agar ia akan menjadi kenyataan dan mula memasang bintang baharu berkualiti untuk menyarung jersi kelab itu.

Dalam ramai-ramai pemain yang mungkin menyertai Sri Pahang, nama bekas import Argentina, Manuel Hidalgo tetap ditunggu oleh para penyokong kerana selepas penyerang sayap itu jelas meninggalkan impak ketara di bahagian serangan.

Melihat keadaan semasa Kedah Darul Aman (KDA) FC yang kini terpalit dengan isu tunggakan gaji, adalah tidak mustahil jika pemain berusia 24 tahun itu akan kembali ke pangkuan kelab lamanya itu.

Hidalgo merupakan import kesayangan penyokong dan berdasarkan rekod, pemain yang bersama Sri Pahang selama dua musim itu sudah menjaringkan 9 gol serta 14 bantuan jaringan dalam 35 penampilan.

Sekiranya Hidalgo akan berhijrah ke Sri Pahang semula, kedudukan penyerang sayap Tok Gajah seperti Nur Shamie Iszuan dan Baqiuddin Shamsudin mungkin dalam senarai pemain akan digugurkan musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram