Sri Pahang antara 3 kelab bernafsu sailang Ifedayo sebelum sah 'digari' The Cops


Foto:
  • Podium
  • Isnin, 04 Mac 2024

Kehadiran Ifedayo (depan tengah) pastinya kembali mewarnai saingan Liga M selepas pernah beraksi bersama Selangor FC, KDA FC dan Melaka United. — Facebook/KDAFC

BEKAS penjaring terbanyak saingan Liga Super, Ifedayo Olusegun dilaporkan kekal beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dengan ada beberapa kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain itu.

Perkara tersebut dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air di laman X, Zulhelmi Zainal Azam yang mendedahkan bahawa bekas peledak KDA FC itu dijangka kekal beraksi di Liga M.

Meskipun belum mendedahkan pasukan tersebut, ramai penyokong beranggapan bahawa penyerang berketinggian 1.80 meter itu bakal berhijrah ke PDRM FC.

Hal ini kerana, ketika ini, PDRM hanya mempunyai dua pemyerang import dalam pasukan iaitu Bruno Suzuki dan Uche Agba.

Bagaimanapun, selain PDRM FC, Ifedayo juga disebut-sebut sertai Sri Pahang, namun masih belum ada pengumuman rasmi kelab.

BACA LAGI: 'Ifedayo is back', striker semusim Kedah pilih seteru Selangor jadi destinasi musim depan

Ifedayoo

Ifedayo dijangka bakal menabur bakti bersama salah satu pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang musim depan. — Facebook/KDAFC

BACA LAGI: Perpindahan Cheng Hoe ke Thailand buka mata negara luar — Penganalisis

Dalam pada itu, berikut Majoriti menyenaraikan tiga kelab yang perlu mendapatkan khidmat Ifedayo sebelum sah 'digari' The Cops.

1. Sri Pahang FC

Sri Pahang FC antara pasukan yang dilihat mahu mendapatkan khidmat bekas peledak Sang Kenari itu.

Ia susulan selepas prestasi yang ditampilkan oleh penyerang import skuad Tok Gajah, Rafael Silva itu tidak memberangsangkan dan merisaukan pada musim lepas.

Kehadiran Silva ke skuad Tok Gajah itu seakan-akan tidak disenangi penyokong apabila gagal menampilkan ciri-ciri seorang penyerang.

Pastinya pasukan kendalian Fandi Ahmad itu mahu mendapatkan khidmat Ifedayo berikutan pernah bergelar sebagai penjaring terbanyak Liga Super.

2. Kuala Lumpur City FC

Kuala Lumpur (KL) City FC menjadi salah satu pasukan yang dilihat sesuai menerima kehadiran Ifedayo musim depan.

Melihat kepada kekosongan penyerang The City Boys ketika ini, KL City dijangka turut mahu mendapatkan khidmat Ifedayo.

Ia berikutan selepas kem KL City kehilangan dua penyerang utama mereka iaitu Romel Morales yang menyertai Johor Darul Takzim (JDT) dan Kipre Tchetche yang berhijrah ke Borneo dengan menyertai Kuching City.

Sudah tentu kehilangan dua tonggak utama skuad itu akan memberi peluang kepada Ifedayo untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

3. Negeri Sembilan FC

Ketiadaan bekas penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri daripada skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) memberi kesan negatif kepada skuad tersebut.

Dengan pemergian Shahrel, ia membuka lembaran baharu buat NSFC dengan tempatnya itu sudah pasti perlu diisi dengan pemain baharu kelak.

Dalam pada itu, pihak pengurusan skuad Jang perlu mengorak langkah dengan menyambar Ifedayo sebelum terlepas ke kelab lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram