KETIBAAN pengendali baharu Police Tero iaitu Tan Cheng Hoe telah memberikan impak positif buat kelab tersebut dalam saingan Liga Thailand.
Selepas mencipta kejutan apabila meninggalkan Selangor FC secara tiba-tiba, Cheng Hoe tiba di Thailand dengan satu misi iaitu menyelamatkan kelab baharunya daripada kekalahan.
Pada perlawanan pertamanya menentang Nakhon Pathom, Cheng Hoe berjaya membimbing kelab baharunya itu memperoleh keputusan seri 1-1 di laman sendiri pada Sabtu.
Police Tero bermula perlahan apabila ketinggalan 0-1 menerusi jaringan Nattanan Biesamrit pada separuh masa pertama. Mujur buat mereka apabila Juvhel Tsoumou menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada separuh masa kedua.
Walaupun tidak berjaya menang, tetapi persembahan yang ditampilkan oleh skuad Police Tero di bawah kendalian Cheng Hoe kelihatan lebih baik dengan mereka menguasai 60 peratus penguasaan bola serta melakukan 19 percubaan.
BACA LAGI: Sanggup potong cuti rehat demi jaga prestasi, Azizulhasni syukur raih gangsa di Australia
Juvhel Tsoumou menjaringkan penalti untuk gol penyamaan Police Tero. — Facebook/Police Tero
BACA LAGI: 'Dah stabilkan kapal', filosofi TCH elemen wajib dimiliki pengendali baharu Gergasi Merah
Impak positif yang ditampilkan oleh Cheng Hoe telah menerima pujian daripada penyokong-penyokong Police Tero. Secara asasnya, persembahan kelab itu meningkat secara mendadak sebaik saja bekas pengendali Harimau Malaya itu mengambil alih.
Lebih menarik, impak Cheng Hoe itu telah berjaya menamatkan rekod kekalahan Police Tero yang sebelum ini berlanjutan sehingga empat perlawanan.
"Tak berjaya dapatkan tiga mata tapi Tan Cheng Hoe membantu pasukan dengan menamatkan rekod kekalahan mereka. Harapnya, momentum tersebut akan berterusan," kata penyokong Police Tero bernama Wayne Ho.
"Apabila jurulatih sebenar tiba, segalanya berubah dan corak permainan meningkat dengan cukup mendadak," ujar Surasit Charoenlert pula.
"Berbeza separuh masa pertama dengan separuh masa kedua. Kedua-duanya menampilkan corak permainan berlainan," kata Wikorn Pettanapong.
Dengan keputusan seri itu, Police Tero mengutip 20 mata daripada 20 perlawanan liga. Jumlah tersebut adalah sama dengan kutipan mata Chonburi serta Uthai Thani namun kedua-dua kelab itu bermain kurang satu perlawanan.
Aksi seterusnya untuk Police Tero adalah menentang kelab tercorot iaitu Prachuap. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegra