Sanggup potong cuti rehat demi jaga prestasi, Azizulhasni syukur raih gangsa di Australia


  • Podium
  • Ahad, 03 Mac 2024

Azizul (kanan) meraih gangsa di Kejohanan Kebangsaan Australia 2024. — X/@AzizulAWANG

KEPUTUSAN untuk memotong cuti rehat yang disarankan oleh doktor membuahkan hasil buat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang apabila berjaya meraih kejayaan di Australia.

Tindakannya itu telah membantu Azizul untuk kembali ke podium apabila dia berjaya meraih gangsa dalam acara keirin di Kejohanan Kebangsaan Australia 2024 yang diadakan dekat Brisbane.

Azizul menamatkan perlumbaan di belakang dua pelumba tuan rumah iaitu Matthew Richardson dan Matthew Glaetzer.

Pelumba yang digelar sebagai The Pocket-Rocket Man itu mengambil risiko besar untuk bertanding dalam kejohanan tersebut. Menurut Azizul, keputusannya bertanding dalam kejohanan itu adalah ingin menjaga prestasinya menjelang Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis kelak.

Dia turut mendedahkan yang doktor menasihatkannya untuk berehat selama tiga minggu namun Azizul memilih untuk memotong cuti tersebut dan kembali beraksi di trek.

"ALHAMDULILLAH syukur saya mendapat pingat Gangsa di dalam acara keirin di Kejohanan Kebangsaan Australia 2024. Perlumbaan peringkat akhir tadi sangat laju dgn catatan masa 9.57 saat untuk 200 meter terakhir.

"Selepas (kejohanan) Track Nations Cup di Adelaide tempoh hari, saya dinasihatkan oleh doktor untuk berehat selama tiga minggu oleh kerana masalah pericarditis yang saya alami. Tidak banyak latihan yang saya dapat lakukan dan hanya latihan ringan selama fasa tersebut.

"Namun oleh kerana memikirkan Sukan Olimpik Paris hanya berbaki lebih kurang lima bulan sahaja lagi, saya memilih untuk hadir juga ke perlumbaan ini bagi melihat keadaan prestasi semasa dan juga sebagai pentas untuk latihan perlumbaan," kata Azizul di laman Facebook miliknya.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya akan bawa balik pingat', kata-kata Fira buat cikgu 'terkedu' lepas raih pingat emas di Australia

BACA LAGI: 'Dah stabilkan kapal', filosofi TCH elemen wajib dimiliki pengendali baharu Gergasi Merah

Azizul juga berharap rakyat Malaysia akan mendoakan kesihatan dan kesejahteraannya agar dia dapat beraksi dengan cemerlang di Paris kelak hingga mampu membawa pulang pingat emas.

Kejohanan Kebangsaan Australia merupakan pertandingan berbasikal trek yang boleh disertai oleh pelumba dari negara tersebut sahaja. Namun begitu, Azizul dibenarkan untuk beraksi sebagai peserta jemputan.

Dia turut mengakui ditawarkan untuk menyertai pasukan negeri Victoria dalam kejohanan sama apabila bersara daripada mewakili Malaysia. Namun tawaran tersebut akan difikirkannya selepas Sukan Olimpik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram