Kenali Mano Polking, calon terbaik ganti Tan Cheng Hoe duduk kerusi panas Selangor musim depan


  • Podium
  • Isnin, 04 Mac 2024

Mano Polking disebut-sebut sebagai calon terbaik untuk mengendalikan skuad Gergasi Merah musim depan. — Agensi

PEMERGIAN Tan Cheng Hoe dari Selangor FC pasti membuatkan pihak pengurusan runsing dalam mencari pengganti untuk saingan musim depan.

Mereka yang bakal bertanding dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 musim depan pasti perlu mendapatkan seorang jurulatih berkaliber serta berpengalaman.

Namun, melihat kepada pasaran semasa, tiada pengendali tempatan mempunyai ciri-ciri tepat untuk membimbing skuad Gergasi Merah ketika ini.

Nafuzi Zain yang kini bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC boleh dikatakan sudah tidak sesuai memandangkan penyokong kurang yakin akan komitmen jangka masa panjangnya.

Situasi itu mendesak Selangor FC membawa masuk seorang jurulatih import dengan perkara terbabit turut dipersetujui Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Dr Johan Kamal Hamidon.

BACA LAGI: Puas raih 3 mata pertama, Ayon harap kekal momentum menjelang aksi Selangor-JDT

Tan-Cheng-Hoe-1050x1313

Cheng Hoe meninggalkan skuad Gergasi Merah secara mengejut minggu lalu. Facebook/Selangor FC

Bagaimanapun, usaha itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana permintaan gaji pengendali import, seperti Park Hang-seo cukup tinggi menutup idea berkenaan daripada dilaksanakan.

Tetapi, sekiranya skuad Gergasi Merah mahu mendapatkan seorang jurulatih luar, Mano Polking yang sebelum ini pernah bersama pasukan kebangsaan Thailand merupakan calon terbaik.

Pengalamannya dalam bidang kejurulatihan tidak boleh dipandang remeh setelah pelbagai pencapaian pernah diraih jurulatih berusia 47 tahun itu.

Namun, sehingga kini, masih terdapat penyokong Selangor FC yang sangsi akan kebolehannya kerana dia masih kurang dikenali meskipun pencapaiannya jauh meninggalkan pesaing lain.

Jadi, untuk memberi pengenalan lebih mendalam mengenai Mano Polking, Majoriti menyenaraikan maklumat mengenai jurulatih kelahiran Brazil itu untuk membuktikan kesesuaiannya buat skuad Gergasi Merah.

Latar belakang

Sebelum bergelar seorang jurulatih, Mano Polking pernah beraksi bersama beberapa pasukan di Jerman dan Cyprus sebagai pemain sayap.

Bagaimanapun, kariernya tidak berpanjangan, sekali gus menyaksikannya gagal meraih sebarang kejayaan sepanjang beberapa tahun bergelar pemain profesional.

Ia diikuti dengan keputusannya menceburi bidang kejurulatihan dengan kelab Emiriah Arab Bersatu, Al Ain menjadi destinasinya sebagai seorang pembantu.

Setelah membuktikan bakatnya, Polking akhirnya diberikan peluang sebagai pengendali bersama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Thailand pada 2012.

BACA LAGI: 'Ifedayo is back', striker semusim Kedah pilih seteru Selangor jadi destinasi musim depan

87459834_3145095548886809_8726052469366325248_o

Bakat Polking dalam bidang kejurulatihan terserlah semasa berada di kelab Thailand. Facebook/Bangkok United

Jurulatih berusia 47 tahun itu juga pernah dilantik beberapa pasukan sekitar Asia Tenggara, termasuk Bangkok United dan Ho Chi Minh City FC.

Namun, kemuncak kepada kariernya disaksikan sepanjang tiga tahunnya bersama skuad Gajah Perang apabila dia menjadi salah seorang pengendali terbaik.

Kini, Polking tidak terikat dengan mana-mana pasukan setelah dia digugurkan jawatan sebelum saingan Piala Asia dengan keputusan berkenaan menimbulkan pelbagai persoalan.

Latar belakang kejurulatihan membuktikan jurulatih tersebut cukup meyakinkan kerana dia berpengalaman di peringkat kelab mahupun antarabangsa.

Pencapaian

Seperti diceritakan di atas, kemuncak karier Polking dirasai ketika dia menghabiskan tiga tahun bersama Thailand bermula 2021.

Antara pencapaian tertingginya adalah apabila dia menjuarai dua Kejohanan Piala Asean 2020 dan 2022 yang menjadi titik perubahan dalam kariernya.

Susunan taktikalnya yang sukar dibendung lawan di samping pemilihan pemain tepat merupakan antara kelebihannya dengan perkara itu dipandang tinggi pasukan sekitar Asia Tenggara.

Alexandre-Polking

Polking memiliki dua Kejohanan Piala Asean sepanjang tiga tahun bersama Thailand. Agensi

Di peringkat kelab pula, pencapaian terbaik diraihnya adalah ketika membawa Bangkok United muncul naib juara Liga Thailand pada 2016 dan 2018.

Meskipun tidak meraih sebarang gelaran, ia sedikit sebanyak melonjakkan kariernya dan membantunya diberikan peluang sebagai jurulatih skuad kebangsaan.

Rekodnya itu membuktikan Polking memiliki kelebihan diperlukan Selangor FC kerana jurulatih itu mempunyai ciri-ciri sesuai buat mereka musim depan.

Kelebihan berbanding Cheng Hoe

Sekiranya hendak ditanya perbandingan antaranya dengan Cheng Hoe, kedua-dua mereka memiliki kelebihan dalam karier masing-masing.

Polking yang kini tidak lagi bergelar jurulatih pernah meraih pengalaman di peringkat kelab dan kebangsaan yang pastinya memberi kelebihan buatnya.

Bagi Cheng Hoe pula, rekodnya tidak juga mengecewakan apabila pernah menjulang beberapa kejayaan, iaitu ketika bersama Kedah FA.

image

Cheng Hoe mencipta nama setelah membantu Kedah FA meraih pelbagai kejayaan.

Namun, ketika mengendalikan skuad kebangsaan pula, pengendali kelahiran Kedah terbabit sedikit bergelut apabila hanya pernah melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Piala Asean 2018.

Jadi, ia membuktikan bahawa Polking mampu membawa skuad Gergasi Merah ke peringkat lebih tinggi, termasuk dalam saingan ACL2 2024/25.

Selain itu, jurulatih dari Brazil terbabit pasti tahu selok-belok bola sepak di Asia selepas pernah membawa Bangkok United ke pertandingan peringkat benua beberapa kali.

Sekiranya hendak dibandingkan dengan Cheng Hoe, ia menyaksikan Polking sebagai calon terbaik untuk membawa kelab Lembah Klang itu yang sudah lapan tahun beraksi dalam ACL.

Cabaran Selangor mendapatkan Polking

Meskipun Polking kini tidak terikat dengan mana-mana tugas kejurulatihan, ia bukanlah satu tugas mudah sekiranya Selangor FC mahu mendapatkan khidmatnya.

Gaji yang tinggi pasti menjadi isu utama meskipun naib juara Liga Super 2023 itu dikenali dengan struktur kewangan kukuh beberapa tahun kebelakangan ini.

Pelaburan besar pada jendela perpindahan kali ini serta kos membaiki Stadium MBPJ, Selangor akan membuatkan mereka lebih terfikir-fikir untuk mendapatkannya.

324308395_558856619484066_3000699266862730185_n

Adakah Polking (kiri) akan cuba nasib dalam arena bola sepak tanah air? Facebook/Changsuek

Selain itu, Polking yang cukup dihormati sekitar Asia membuatkan pasukan lain pasti tertarik mendapatkannya pada musim mendatang.

Jadi, pihak pengurusan Selangor FC perlu bertindak segera dengan kelewatan akan menyaksikannya disambar pasukan lain yang mempunyai tawaran lebih lumayan.

Polking juga pastinya mahu mencari kelab yang mempunyai misi dan cita-cita besar untuk layak ke pentas Asia setiap tahun dengan perkara itu masih sukar dicapai.

Namun, sekiranya pihak pengurusan dapat memberi sokongan tidak putus, ia pasti akan membawa kelebihan buat kesemua pihak, terutamanya buat karier Polking yang gilang-gemilang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram