SEORANG wanita patah tulang belikat selepas dihempap sebuah papan iklan yang terletak di persimpangan lampu isyarat di Tok Gajah, Jalan Jerantut-Maran, Pahang pada petang Sabtu.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Azman Mat Kamis berkata, siasatan awal mendapati ketika tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 3.20 petang, G Muniammah, 57, yang menunggang motosikal jenis Yamaha dihempap sebuah papan iklan yang melayang ke arahnya.
"Ketika penunggang motosikal itu melepasi lampu isyarat berwarna hijau, secara tiba-tiba angin bertiup kencang dan membadai papan iklan terbabit lalu melayang dan menghempap mangsa.
"Pada waktu kejadian juga berlaku hujan dan angin kencang," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
BACA LAGI : 'Ada bahan naik RM320 ke RM700', usahawan baker tersepit hambur luahan
BACA LAGI : Harga barang kami jual tidak akan naik sebab SST meningkat — Ameer Ali Mydin
Azman berkata, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan di dahi, mata dan dihantar ke Hospital Jerantut untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Mangsa yang juga seorang pekerja Alam Flora turut patah tulang belikat akibat kejadian itu dan keadaannya dilaporkan stabil," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram