
SUKAN lawan pedang atau lebih dikenali sebagai fencing sememangnya masih belum mendapat perhatian menggalakkan dalam kalangan masyarakat sehingga kini.
Meskipun sudah dipertandingkan sehingga ke temasya Olimpik, kekurangan usaha dari segi pendedahan serta publisiti menyaksikannya sukar mendapatkan penyertaan.
Bagaimanapun, ia bukanlah alasan buat atlet negara untuk terus bergiat aktif dalam sukan berkenaan dan mengharumkan nama negara dalam pertandingan di pentas tertinggi.
Atlet berusia 24 tahun, Syed Adam Emir Putra merupakan antara yang berjaya menaikkan reputasi sukan fencing apabila pernah bersaing dalam pertandingan berprestij tinggi.
Penyertaan dalam Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur serta Sukan Asia di Indonesia boleh dikatakan sebagai antara titik tertinggi sepanjang bertahun-tahun bergiat aktif dalam sukan itu.
BACA LAGI: Nama tak 'lekat' ke Sukan Olimpik, Pandelela belum mahu bersara lagi
Syed Adam (kanan) ketika baru sahaja menceburi sukan fencing di usia muda.
Namun, menurutnya, minat untuk mendalami fencing secara aktif bermula di usia kecil setelah melihat kebolehan abangnya selain terpengaruh dengan siri filem Star Wars.
"Abang saya, Syed Adil merupakan seorang atlet dalam sukan ini dan juga pernah mewakili negara. Jadi, sepanjang dia aktif, saya berpeluang mengikutinya ke pertandingan di luar negara yang membuatkan saya tertarik dengan peluang sebegitu.
"Insiprasi kedua saya adalah apabila saya menonton filem-filem Star Wars yang memaparkan senjata 'lightsaber'. Saya berfikir perkara itu cukup menarik untuk cuba mendalami sukan fencing," katanya kepada Majoriti.
Syed Adil juga mempunyai rekod tersendiri apabila pernah bersaing dalam Sukan SEA di Singapura dalam kategori foil berkumpulan, namun tersingkir di tangan pasukan Filipina.
Bagaimanapun, penyertaannya berkenaan berjaya menjadi inspirasi kepada orang ramai, termasuk adiknya untuk menghangatkan lagi acara fencing dalam negara.
BACA LAGI: Tuah tahun naga jadi harapan perseorangan negara untuk layak ke Sukan Olimpik
Syed Adam bersama dua pingat dimenanginya di SUKMA 2018 yang diadakan di Perak. — Instagram/advmsyed
Jelas Syed Adam, minat itu mendorongnya untuk memulakan sesi latihan seawal usia sembilan tahun sebelum menyertai program pelapis pada 2014 di bawah Majlis Sukan Negara.
Usaha dan titik peluhnya itu membuahkan hasil selepas dia terpilih mewakili negara di Sukan SEA 2017 dan Sukan Asia 2018 yang boleh dikatakan sebagai antara pencapaian dalam kariernya.
"Saya rasa salah satu momen terbaik buat saya adalah apabila berpeluang bersaing dalam Sukan SEA di KL kerana ia diadakan di negara sendiri, jadi orang ramai boleh datang untuk menyaksikan anda. Saya rasa itulah antara pencapaian terbaik saya.
"Ini kerana saya perlu berdepan atlet lebih hebat untuk merebut slot itu dan Alhamdulillah saya perolehinya. Oleh itu, saya amat berbangga atas pencapaian berkenaan.
Syed Adam (kiri) merupakan salah seorang atlet fencing terbaik pernah dilahirkan negara.
"Selain itu, pencapaian yang juga bernilai adalah ketika bersaing di Sukan Asia kerana saya berpeluang berdepan lawan daripada negara lain, sekali gus membantu saya mengenal pasti kebolehan tersendiri," katanya.
Kini, bintang kelahiran KL berkenaan terus bergiat aktif dalam sukan itu setelah menyertai pasukan fencing di sebuah universiti ternama di Amerika Syarikat, University of California San Diego.
Menurutnya, ia juga boleh dikatakan sebagai satu pencapaian dalam kariernya sebagai seorang atlet kerana dia berpeluang meraih pengalaman serta pendedahan mengenai sukan itu.
Selain berjaya mengetahui perbezaan pendekatan di Asia dan Amerika Syarikat, penyertaan itu membolehkannya berdepan lawan yang lebih mahir serta berpengalaman.
Syed Adam (kanan) bersama jurulatihnya, Josh Runyan di University of California San Diego. — Facebook/UC San Diego Triton Athletics
"Pada tahun pertama saya menyertai pasukan di sini, ia membuatkan saya sedar fencing di negara berkenaan lebih kompetetif dan berada di tahap lebih tinggi.
"Ketika di universiti, atlet lain sudah cukup mahir kerana pernah bersaing dalam pelbagai kejohanan. Jadi, sesiapa sahaja yang saya berdepan mempunyai kemahiran cukup hebat," katanya.
Namun, kesukaran itu masih berjaya ditempuhinya apabila Syed Adam pernah menyertai Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej-kolej Nasional (NCAA) pada 2019.
Pencapaian tersebut pasti sukar dilupakannya dengan dia masih berpeluang menempa lebih banyak kejayaan melihat kepada usianya yang membolehkannya beraksi secara kompetetif buat beberapa tahun lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram