KEJAYAAN Selangor FC melayakkan diri ke pentas Asia musim depan dituruti dengan perbelanjaan besar pasukan sepanjang jendela perpindahan kali ini.
Pasukan Lembah Klang tersebut merupakan antara yang paling sibuk dalam kalangan kelab Liga Super apabila sudah mengumumkan lima pemain baharu.
Dalam kalangan mereka, dua nama iaitu Alvin Fortes serta Nooa Laine mencipta keterujaan tersendiri dalam kalangan penyokong yang tertarik dengan karier masing-masing.
Bagaimanapun, masih terdapat dalam kalangan pengikut setia skuad Gergasi Merah yang gusar akan kesukaran masing-masing untuk menyesuaikan diri sebelum saingan musim depan membuka tirainya pada awal Mei.
Walaupun Nooa pernah berlatih bersama beberapa pemain Selangor FC, ia tidak menentukan sekiranya dia dapat mencipta keserasian di padang latihan.
BACA LAGI: Slot import masih kosong, Selangor boleh sambar kapten Thailand kukuhkan 'back four'
Skuad Gergasi Merah sudah mengumumkan lima pemain baharu untuk musim depan. — Facebook/Selangor FC
Kerisauan turut diajukan kepada Fortes yang baru pertama kali beraksi dalam arena bola sepak tanah air selepas mencipta nama di beberapa liga lain seperti di Thailand dan Belanda.
Namun, bagi mereka, bantuan diberikan pihak kejurulatihan memudahkan proses menyesuaikan diri yang pastinya diharapkan dapat meneruskan kecemerlangan skuad Gergasi Merah di pentas domestik.
"Pasukan ini mengalu-alukan saya dengan baik. Jadi, ia sedikit sebanyak memudahkan saya memahami mereka. Saya juga akan berusaha sebaik mungkin untuk memahami rakan sepasukan serta barisan kejurulatihan dalam membantu mereka mencapai cita-cita ditetapkan," kata Fortes.
Bekas pemain kebangsaan Cape Verde itu hadir dengan reputasi cukup baik kerana berpengalaman beraksi di liga utama Belanda pada musim 2014/15 bersama RKC Waalwijk.
Bagi Nooa pula, sesi latihan berlangsung dengan baik yang sekali gus memberikannya peluang menyesuaikan diri bersama naib juara Liga Super 2023 itu.
Sentuhan Fortes buat naib juara Liga Super 2023 itu sememangnya cukup dinantikan. — Facebook/Selangor FC
"Minggu pertama latihan dengan skuad utama berjalan lancar. Para pemain juga membuatkan saya rasa dialu-alukan. Jadi, ini membolehkan saya tidak kekok ketika bersama mereka," katanya.
Nooa hadir dengan status pinjaman dari kelab Finland, SJK Seinajoki setelah potensinya dipamerkan ketika beraksi bersama skuad kebangsaan pada awal 2023.
Dia dijangka akan memikul peranan besar dalam skuad utama Selangor FC musim depan kerana perlu mengisi kekosongan ditinggalkan bekas kapten pasukan, Brendan Gan.
Selain Fortes dan Nooa Laine, pasukan berkenaan turut mengumumkan kehadiran Umarbek Esmurodov, Ronnie Fernandez serta Azim Al-Amin dengan masing-masing akan menaikkan lagi mutu skuad itu.
Pasukan kendalian Tan Cheng Hoe itu akan memulakan perlawanan pramusim mereka pada awal Mac, iaitu sebelum pemain skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara dipanggil untuk kem latihan berpusat bagi persiapan ke Piala Asia B-23. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram