Nama tak 'lekat' ke Sukan Olimpik, Pandelela belum mahu bersara lagi


  • Podium
  • Sabtu, 17 Feb 2024

Pandelela masih belum mahu bersara daripada bidang sukan terjun. — Agensi

KEKECEWAAN melanda pasukan terjun negara apabila mereka hanya satu wakil yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Penerjun utama negara, Datuk Pandelela Rinong antara nama yang terlepas daripada mendapatkan slot ke Paris apabila gagal menyerlah di Kejohanan Dunia Akuatik dekat Doha, Qatar.

Selain Pandelela, seorang lagi penerjun iaitu Nur Dhabitah Sabri juga tidak berhasil melayakkan diri ke Paris. Untuk rekod, cuma Bertrand Rhodict berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024.

Timbul pelbagai cakap-cakap mengenai masa depan sukan terjun di Malaysia. Namun yang menjadi tumpuan adalah, adakah Pandelela akan terus beraksi?

Selepas kegagalan untuk mara ke Paris sekali gus mengurangkan prospek pingat emas negara, Pandelela memberikan bayangan akan terus berjuang demi memastikan sukan terjun negara terus maju walaupun mengakui kecewa tidak berjaya layak.

"Saya masih mempunyai banyak perjuangan dan semangat dalam diri saya untuk terus kekal dalam sukan ini, dan saya akan bangkit daripada kekecewaan ini.

"Dan apabila tiba masanya untuk saya mengundur diri, saya juga akan melakukannya dengan baik seperti semua yang lain sebelum saya," kata Pandelela menerusi hantaran di Facebook miliknya.

BACA LAGI: Perpisahan Peter Segrt dengan Tajikistan buka jalan ke Liga Malaysia?

BACA LAGI: [VIDEO] Seperti fotokopi CR7, pemain kelahiran Perancis hasilkan 2 gol 'knuckle-ball' dalam 3 minit

Pandelela juga memberikan bayangan yang kenyataannya kepada pihak media yang mengatakan pasukan terjun mempunyai isu telah disalah tafsir.

Menurutnya, ketika memberitahu perkara tersebut sebaik saja tiba di Malaysia, kenyataan tersebut telah disalah tafsir walaupun dia ketika itu tidak mengulas lanjut apa yang dinyatakan.

"Saya ditemui sebaik tiba di KLIA oleh wartawan bertanyakan mengenai perasaan saya. Saya memberitahu mereka tentang kekecewaan saya dan menerima kekalahan saya tanpa alasan.

"Apabila ditanya apa yang boleh menjejaskan prestasi pasukan, saya menyebut ada isu, tetapi saya boleh tidak menghuraikan perkara ini tanpa terlebih dahulu berjumpa dengan pihak berkenaan untuk menjalankan bedah siasat," ujarnya.

Pandelela sebelum ini meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik 2012 dan pingat perak pada Sukan Olimpik 2016. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram