[VIDEO] Sayur merah kuning masuk tong sampah, video perkenal Romel jadi episod baharu perang dingin JDT, Selangor


  • Podium
  • Selasa, 20 Feb 2024

Lada benggala berwarna merah dan kuning dalam video pengumuman Romel (kiri) menjadi bualan orang ramai.

JIKA ditanya peminat bola sepak hari ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) boleh diangkat sebagai pasukan terbaik dengan rekod serta pencapaian mereka tidak mudah dipersoalkan.

Bagaimanapun, setiap tahun, pasti ada kelab yang akan tampil untuk cuba mencabar kedudukan mereka meskipun tahu hal tersebut bukanlah sesuatu hal mudah.

Musim lalu, pesaing terdekat kepada skuad Harimau Selatan ialah Selangor FC yang menamatkan saingan di kedudukan kedua Liga Super dengan permusuhan antara mereka sudah diketahui sejak beberapa tahun lalu.

Hal berkenaan turut dirasakan penyokong yang tampil dengan idea kreatif untuk terus menjatuhkan moral lawan masing-masing di stadium mahupun di laman media sosial.

Namun, usikan antara kedua-dua kelab berkenaan dilihat kian rancak ketika ini apabila baru-baru ini, JDT seakan-akan sengaja membuat gurauan halus terhadap skuad Gergasi Merah.

BACA LAGI: JDT kini 1,000 langkah di depan 'rival' Liga Super, siap pintas 2 kelab gergasi Jepun

BACA LAGI: VIDEO] 'Game panas', 7 kad kuning pernah cemari aksi JDT-KDA FC

Dalam video perasmian Romel Morales sebagai pemain baharu mereka, kelab Selatan tanah air berkenaan menyertakan klip pendek memaparkan seseorang sedang memasak lada benggala berwarna merah dan kuning.

Bagaimanapun, hidangan itu langsung tidak dimakan sebelum hanya dibuang ke dalam tong sampah dengan orang ramai berasakan ia adalah usikan halus daripada mereka.

Ini kerana Selangor FC cukup sinonim dengan warna merah dan kuning di logo mereka yang menguatkan lagi tanggapan bahawa klip berkenaan mempunyai maksud tersirat.

Meskipun ramai berasakan perang dingin antara mereka hanya akan menyukarkan usaha menarik lebih ramai peminat, perseteruan itu sedikit sebanyak meningkatkan nilai tarikannya.

Selain membuktikan kedua-dua pasukan mahu menjadi yang terbaik dalam negara, hubungan tegang antara JDT dan Selangor FC memberi kesedaran buat kelab Liga Super untuk terus bertambah baik.

Romel Morales menjadi pemain terbaru diumumkan skuad Harimau Selatan dengan kehadirannya akan menguatkan lagi jentera serangan pasukan yang cukup ampuh musim lalu.

Dia yang beraksi bersama Kuala Lumpur (KL) City FC sudah bermusim-musim dikatakan bakal berpindah ke JDT dengan statusnya yang kini merupakan pemain naturalisasi memudahkan proses pendaftarannya.

Setakat ini, mereka merupakan antara pasukan tersibuk melakukan aktiviti perpindahan dengan beberapa pemain baharu sudah menyertai sementara ada juga yang tidak lagi bersama mereka untuk saingan akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram