HARAPAN seorang pemain untuk terus berkhidmat buat pasukan kesayangannya terbantut setelah kontraknya ditamatkan serta-merta gara-gara satu profil di aplikasi janji temu.
Emirhan Delibas yang pernah beraksi buat skuad Bawah 17 Tahun (B-17) dan B-19 Beskitas menerima perkhabaran duka apabila dia dilepaskan kelab Turki itu baru-baru ini.
Berdasarkan kenyataan media dikeluarkan, pemain berusia 21 tahun berkenaan dilepaskan tanpa sebarang alasan diberikan dengan pihak pengurusan mengucapkan selamat maju jaya buatnya.
Namun, berdasarkan spekulasi orang ramai, keputusan itu dibuat selepas penemuan bahawa Emirhan mempunyai profil dalam aplikasi janji temu, Bumble seperti mana dikongsikan di laman media sosial.
Akaun berkenaan memaparkan pemain itu menyarung jersi latihan Besiktas sambil berswafoto menggunakan namanya, namun usia yang terpapar adalah 24 tahun.
BACA LAGI: [VIDEO] Malang tak berbau, fans futsal JDT kena 'headshot' rembatan tonggak import Brazil
Emirhan menampilkan bakat tersendiri sepanjang beberapa tahun dalam akademi Besiktas.
BACA LAGI: Tak lama dulu, kehadiran import Brazil buat fans Sabah tak senang duduk
Kelakuan itu dilihat hanya akan menjatuhkan reputasi kelab sebagai antara yang terbaik di negara Eropah tersebut, sekali gus mendesak mereka mengambil keputusan demikian.
Tidak lama selepas itu, Emirhan tampil membuka mulut atas insiden terbabit menerusi satu hantaran di laman Insta Story peribadi yang menegaskan kesetiaannya buat pasukan tidak perlu dipersoalkan.
"Besiktas merupakan tanggungjawab buat saya dan sokongan daripada mereka merupakan sumber motivasi terhebat buat saya," tulis pemain itu.
Ia bagaimanapun masih tidak cukup untuk mendesak juara 16 kali Liga Super Turkiye itu untuk menarik semula keputusan mereka, sekali gus menyaksikan Emirhan kekal berstatus ejen bebas.
Untuk rekod, pemain tengah itu mencipta debut bersama skuad senior ketika aksi Liga Konfederasi Europa UEFA (UECL) berdepan kelab Switzerland, Lugano dengan dia dimasukkan dari bangku simpanan.
Selain itu, dia juga pernah diberikan peluang dalam saingan Liga Super Turkiye pada Januari ketika pasukannya mengalami kekalahan kepada Kasimpasa di laman sendiri. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram