BEKAS penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat merupakan salah seorang pemain paling berpengaruh pernah beraksi dalam Liga Super.
Dia yang cukup lantang di belakang benteng pertahanannya boleh dipandang sebagai antara pemimpin di atas padang, baik ketika beraksi di peringkat kelab mahupun kebangsaan.
Jadi, tidak hairanlah apabila pemain yang juga dikenali sebagai Apek itu meraih pelbagai kejayaan selain legasinya sebagai salah seorang penjaga gawang terbaik pernah dimiliki negara.
Bagaimanapun, Khairul Fahmi masih mempunyai karakter menghiburkan hati sekiranya tidak berada di atas padang yang membuatnya semakin rapat dengan peminat bola sepak tempatan.
BACA LAGI: [VIDEO] Sempena hari jadi, fans imbau semula zaman kegemilangan Apek
Khairul Fahmi merupakan antara penjaga gol terbaik dalam sejarah bola sepak negara.
Perkongsian mencuit hati serta karakter yang bersahaja di hadapan lensa kamera membuatkan pemain berusia 35 tahun tersebut meraih pengikut di laman media sosial, terutamanya di Instagram.
Malah, baru-baru ini, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan berkenaan tampil menceritakan satu kisah menarik apabila selipar dipakainya dicuri selepas solat Jumaat.
"Dugaan hari Jumaat, binatang manalah rembat selipar aku sebab kalau dia orang, dia tak curi," tulisnya dalam satu hantaran Instastory memaparkannya berkaki ayam.
Perkongsian berkenaan sememangnya menarik memandangkan orang ramai pernah mengalami situasi sebegitu, sekali gus membuatkan mereka faham akan nasib dialami Khairul Fahmi.
BACA LAGI: [VIDEO] Apek pernah hampir tolak 'call up' kebangsaan gara-gara tak dapat restu bapa
Penceritaan Khairul Fahmi yang membuatkan ramai pengikutnya tidak kering gusi. — Facebook/Era Sabah
"Tidak mengapalah, mungkin peminat aku, aku husnuzon. Mungkin dia mahu cium bau kaki aku, tidak mengapa," katanya dalam nada berseloroh dalam satu hantaran berbeza.
Kisahnya itu turut membuatkan pengikutnya tidak kering gusi kerana Apek berkata-kata dengan dialek Sabah meskipun dilahirkan di Pantai Timur.
Khairul Fahmi kini masih beraksi secara profesional bersama skuad Sang Badak dengan khidmatnya masih ditagih ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee di pentas domestik dan Asia musim lalu.
Dia dikhabarkan akan terus kekal bersama kelab Borneo itu buat tahun ketiga meskipun mereka sudah memiliki Damien Lim sebagai salah seorang penjaga gol tempatan terbaik.
Namun, memandangkan khidmatnya ditagih sebanyak 21 kali dalam kesemua kejohanan musim lalu, ia membuktikan personaliti dan pengaruhnya masih penting dalam misi Sabah FC terus diangkat sebagai antara pencabar dalam Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram