Siap kongsi lagu 'SAH' Sarah Suhairi, tutup logo kelab pun ramai dah tahu Rizal Ghazali kini milik Sang Kenari


  • Podium
  • Ahad, 03 Mac 2024

Rizal sudah beberapa kali dilaporkan mahu pulang ke pangkuan skuad Sang Kenari. — Facebook/Kedah FA

SELEPAS dua musim beraksi bersama Sabah FC, bek kanan berpengalaman, Rizal Ghazali difahamkan sudah tidak akan lagi beraksi buat pasukan Borneo itu.

Sumbangannya buat kelab terbabit tidak boleh dipandang rendah apabila dia membantu mereka menamatkan saingan Liga Super 2022 di tangga ketiga selain melepasi peringkat kumpulan Piala AFC tahun lalu.

Karakternya yang mencuit hati turut membuatkan penyokong skuad Sang Badak cukup meminati bekas pemain kebangsaan terbabit.

Berdasarkan khabar angin, Rizal atau lebih dikenali sebagai Jai berkenaan berminat untuk pulang ke Kedah supaya membolehkannya lebih dekat dengan keluarganya.

BACA LAGI: Bek 'malap' Selangor FC pengganti terbaik Rizal Ghazali di Sabah

2142847

Rizal menikmati dua musim yang cemerlang bersama skuad Sang Badak. Facebook/Sabah FC

Namun, hasrat itu tidaklah begitu mudah untuk direalisasikan kerana Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak mempunyai struktur kewangan kukuh ketika ini.

Selain itu, peluang mereka beraksi dalam Liga Super 2024/25 juga menjadi sukar selepas kegagalan pihak pengurusan menyelesaikan isu tunggakan gaji musim lalu.

Tetapi, masalah berkenaan seakan-akan tidak memberi kesan terhadap keputusan Rizal untuk menyertai skuad Sang Kenari yang pernah diwakilinya untuk beberapa tahun.

Ini berdasarkan satu hantaran Instastory miliknya yang memaparkan dia sedang menyarung jersi serba hijau sambil menyembunyikan lencana di baju tersebut pada Ahad.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan hanya Kedah, 4 kelab tanah air berebut khidmat Rizal Ghazali

WhatsApp Image 2024-03-03 at 15.17.11

Tangkap layar daripada hantaran Instastory Rizal yang seakan-akan memberi bayangan mengenai masa depannya.

Meskipun jersi berkenaan tidak pernah disarung KDA FC musim lalu, ia seakan-akan pakaian latihan baharu pasukan yang masih belum melaporkan diri untuk sesi pramusim.

Malah, hantaran itu dibuat berserta lagu baharu nyanyian Sarah Suhairi berjudul 'Sah' yang sekali gus mengesahkan khabar angin kini berlegar dalam kalangan penyokong skuad Sang Kenari.

Kedua-dua klu berkenaan sekali gus menguatkan khabar angin bahawa pemain berusia 31 tahun berkenaan terbuka untuk pulang menyertai skuad Sang Kenari.

Sepanjang kariernya, Rizal meraih pelbagai momen manis buat kelab Utara tanah air tersebut, termasuk dua gelaran Piala FA pada 2017 dan 2019.

Kebolehannya yang terserlah turut menyaksikannya diakui sebagai salah seorang bek sayap terbaik negara apabila beberapa kali dipanggil menyertai skuad kebangsaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram