Pertemuan 'gelak-gelak' dengan TMJ tutup pintu Nafuzi ke Selangor?


  • Podium
  • Jumaat, 01 Mac 2024

Nafuzi disebut-sebut sebagai salah seorang calon terbaik untuk mengendalikan skuad Gergasi Merah musim depan. — Facebook/KDA FC

SELANGOR FC kini dalam usaha mendapatkan ketua jurulatih baharu selepas Tan Cheng Hoe memilih untuk meletakkan jawatan secara mengejut.

Pencarian tersebut pasti sukar buat kelab Lembah Klang itu kerana mereka bakal bersaing dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 musim depan.

Selain itu, seseorang berkualiti perlu dibawa masuk memandangkan skuad Gergasi Merah mahu meneruskan rentak cemerlang di peringkat domestik.

Antara calon disebut-sebut ialah pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain yang mempunyai reputasi baik sebagai jurulatih muda tempatan terbaik.

Gaya permainan yang menarik serta kebolehan membawa Terengganu FC ke pentas Asia pada 2022 merupakan sebab-sebab namanya kini berada di bibir penyokong Selangor FC.

Isu kewangan dialami skuad Sang Kenari turut membuatkannya cukup sesuai untuk disambar dengan kelab Utara tanah air tersebut pasti sukar menolak bayaran pampasan.

BACA LAGI: Tindakan TCH tinggalkan Selangor ibarat dejavu pernah menimpa Kedah sebelum ini

WhatsApp Image 2024-03-01 at 19.25.09

Tangkap layar daripada pertemuan TMJ, Nafuzi, Joe Rozi dan Hairuddin baru-baru ini.

BACA LAGI: Terkejut besar keputusan Tan Cheng Hoe, 3 calon termasuk Park Hang-seo dalam radar Selangor

Namun, kemahuan peminat setia skuad Gergasi Merah terhadap Nafuzi pudar ketika ini kerana dia kelihatan meluangkan masa bersama pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris.

Foto yang dimuat naik TMJ menerusi Instastory peribadinya memaparkan kedua-dua mereka sedang beramah mesra di satu lokasi tidak dikenal pasti.

Mereka turut ditemani Zul Fadli Rozi, atau lebih dikenali sebagai Joe Rozi yang kini merupakan Pengarah Teknikal Terengganu FC serta ketua jurulatih skuad muda Sang Penyu, Hairuddin Omar.

Ia sekali gus menimbulkan prasangka bahawa Nafuzi tidak sesuai untuk mengendalikan Selangor FC memandangkan kelab berkenaan mempunyai permusuhan mendalam dengan JDT.

Skuad Gergasi Merah dikatakan turut berminat mendapatkan jurulatih import yang mempunyai pengalaman membimbing pasukan di pentas Asia.

Meskipun senarai calon masih belum dikongsikan, struktur kewangan Selangor FC yang kukuh membolehkan mereka cuba mendapatkan nama-nama besar.

Naib juara Liga Super 2023 itu kini dikendalikan Nidzam Jamil yang bertugas sebagai pembantu jurulatih skuad Gergasi Merah untuk beberapa tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram