TERDAPAT desas-desus mengenai perpindahan pelbagai pemain dalam saingan Liga Super dengan saingan musim baharu akan bermula pada Mei 2024.
Saingan yang bakal menyaksikan format Liga Super menggunakan pendekatan merentas tahun atau cross-year menyaksikan ia akan berakhir pada tahun 2025.
Namun begitu, ia tidak mengubah perancangan pasukan untuk mendapatkan para pemain dengan begitu pantas. Bagi sesebuah kelab bola sepak, elok jika segala urusan mendapatkan pemain dilakukan lebih awal supaya persiapan musim baharu tidak terjejas.
Situasi tersebut tidak terkecuali buat kelab Borneo iaitu Sabah FC. Sabah yang pada akhir musim lalu dilaporkan mengalami masalah tunggakan gaji dengan beberapa pemain dikatakan bersedia untuk berhijrah.
Khuzaimi hanya melakukan 11 penampilan untuk Selangor dalam Liga Super 2023. — Selangor FC
Dengan beberapa pemain yang dikatakan mahu tinggalkan pasukan itu merupakan tonggak bahagian pertahanan, Sabah perlu mendapatkan muka baharu bagi memastikan cabaran mereka terus menyala.
Hal ini kerana, mereka perlu beraksi dalam saingan Piala AFC walaupun Liga Super sedang berehat pada waktu sekarang.
Salah sebuah pemain yang tinggalkan Sabah adalah Rizal Ghazali. Rizal kembali ke negeri kelahirannya iaitu Kedah dengan statusnya masih belum diketahui sama ada akan terus bermain atau tidak.
Kini, muncul nama baharu untuk menggantikan Rizal iaitu pertahanan Selangor FC, Khuzaimi Piee. Khuzaimi yang merupakan salah seorang daripada 26 pemain Malaysia beraksi di Piala Asia mula dicanang untuk mewakili skuad Badak musim depan.
BACA LAGI: Skuad 26 pemain Malaysia dapat lampu hijau penyokong, tapi kelibat Syafiq Ahmad masih jadi kerinduan
Musim lalu, Khuzaimi mempunyai peluang yang terhad untuk menonjolkan persembahannya bersama-sama Gergasi Merah. Dalam saingan Liga Super, dia cuma melakukan 11 penampilan selain empat kemunculan Piala FA dan Piala Malaysia.
Jika Datuk Ong Kim Swee benar mahu menguatkan pasukan terutamanya di bahagian pertahanan, nama Khuzaimi boleh diberikan pertimbangan kerana kepelbagaiannya sebagai pemain yang boleh beraksi sebagai pertahanan tengah serta kiri.
Dia bukanlah pertahanan kanan semula jadi yang boleh menggantikan Rizal, tetapi Kim Swee pastinya mempunyai cara untuk menukarnya menjadi pemain kompeten ketika beraksi di posisi sedemikian.
Dengan statusnya sebagai pemain kebangsaan, kehadiran Khuzaimi pastinya akan menambah sengat di pertahanan Sabah sekali gus menarik perhatian penyokong mereka yang sedang kecewa kerana situasi semasa pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram