Bek tengah Belanda dedah pindah ke Terengganu demi capai impian bersama Indonesia


  • Podium
  • Rabu, 28 Feb 2024

Steenvoorden berhasrat untuk menyarung jersi Indonesia. — Facebook/TFC

DEMI mendapat panggilan menyertai pasukan kebangsaan Indonesia, Matthew Steenvoorden mendedahkan terbuka untuk beraksi di saingan Liga Malaysia (Liga M) bersama Terengganu FC (TFC).

Selain misinya yang ingin memikat pengendali skuad Garuda, Shin Tae-yong, pemain pertahanan tengah tersebut juga mahu merasakan atmosfera bermain di Asia selepas pengalamannya banyak beraksi di liga Eropah.

"Sebab saya (menyertai kelab Malaysia) adalah kerana saya ingin merasai pengalaman liga Asia, kerana saingan di sini berbeza dengan Eropah. Saya ingin tahu bagaimana rasanya tinggal di sini bersama keluarga dan menikmati kehidupan di sini.

"Saya juga semakin dekat dengan Indonesia sekarang jadi mungkin saya akan mendapat lebih banyak peluang untuk bermain untuk pasukan kebangsaan," katanya dipetik daripada portal Indonesia, tvOnenews.com.

BACA LAGI: Ada klu kata Terengganu bakal terima seorang lagi pemain bintang

WhatsApp Image 2024-02-28 at 13.38.27

Steenvoorden (kiri) bakal menyarung jersi nombor empat pada musim ini. — Facebook/TFC

BACA LAGI: 'Mungkin rindu nasi dagang', usia tak tutup pintu kepulangan Lee Tuck ke Terengganu

Steenvoorden difahamkan mempunyai darah campuran Indonesia namun belum berkesempatan menyarung jersi Garuda dan setakat ini hanya pernah beraksi untuk skuad bawah 19 tahun Belanda.

Pemain berusia 31 tahun berkenaan pernah beraksi di liga Belanda bersama Feyenoord Rotterdam, Excelsior Rotterdam, Dordrecht FC dan SC Cambuur Leewarden sebelum berhijrah ke Croatia pada 2019.

Selain itu, Steenvoorden sebelum ini pernah beraksi bersama pasukan Pakhtakor Tashkent di liga utama Uzbekistan dan turut membantu pasukan ini mempertahankan kejuaraan kali keempat berturut-turut.

Bek tengah berbadan sasa itu merupakan salah satu pemain baharu Terengganu pada musim ini. Naib juara Piala Malaysia itu menandatangani lima pemain baharu termasuk dua import iaitu Ismahil Akinade dan Matthew.

Manakala, selebihnya diperkuatkan dengan khidmat tiga tonggak tempatan iaitu bekas arkitek Kuala Lumpur City FC, Akram Mahinan dan duo pinjaman Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram