Lepas Akhyar Rashid, giliran abang pula berpisah dengan JDT demi kembali ke Kedah


  • Podium
  • Sabtu, 02 Mac 2024

Rafdi merupakan jurulatih kecergasan Akademi JDT. — Facebook/JDT

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini mengambil tindakan mengejutkan apabila membuat keputusan tidak mengekalkan Eseteban Solari mengepalai Harimau Selatan walaupun sudah berhasil memberi kejayaan quadruple bagi musim 2023.

Posisi Solari digantikan oleh Hector Bidoglio, yang sebelum ini merupakan pengarah teknikal Harimau Selatan dan turut berpengalaman menjadi ketua jurulatih pasukan pada musim 2022.

Perubahan barisan kejurulatihan di kem Harimau Selatan itu nampaknya bukan hanya berlaku pada skuad utama dan simpanan kerana pasukan junior JDT FC juga mengalami perkara sama pada tahun ini.

Berdasarkan perkongsian dalam laman Facebook penyokong Harimau Selatan, Darul Takzim FC & Johor FA mengesahkan bahawa jurulatih kecergasan Akademi JDT, Rafdi Rashid tidak akan bersama kelab bagi musim 2024.

BACA LAGI: Dua kali tewas jumpa JDT, tapi BG Pathum masih kelab terbaik Asean

ISI JDT

Rafdi bersama barisan kejurlatihan Akademi JDT. — Facebook/JDT

Rafdi yang juga merupakan abang kepada penyerang sayap Harimau Selatan, Akhyar Rashid difahamkan meninggalkan pasukan gergasi tanah air itu untuk kembali berkhidmat di bumi Kedah.

Rafdi sememangnya cukup terkenal dalam arena bola sepak tempatan apabila pernah menyarung jersi beberapa pasukan sejak memulakan kariernya dengan Kedah FA ketika 1998 dan khidmatnya turut digunakan oleh Perak FA, Perlis FA dan Sarawak FA.

Selain itu, bekas penyerang legenda Kedah FA era 1990-an itu turut pernah mewakili skuad negara ke Sukan Olimpik 2000.

BACA LAGI: Cheng Hoe lepaskan jawatan, kenapa mahu salahkan JDT?

isi dalam

Akhyar dan Rafdi memulakan karier profesionalnya bersama Kedah. — Facebook/TheRedEagle

Selepas bersara, Rafdi terlibat dalam dunia kejurulatihan dan antara yang menjadi dalam lipatan sejarah JDT apabila dia merupakan tulang belakang kepada pembangunan skuad junior JDT.

Keputusan jurulatih berusia 47 tahun berkenaan meninggalkan juara bertahan Liga Super itu boleh dianggap seperti senario Akhyar yang juga tidak menyarung jersi JDT pada musim ini kerana dipinjamkan ke Terengganu FC (TFC).

Susulan isu kurang mendapat minit permainan dan persaingan sengit dalam kalangan pemain pasukan pemenang Piala AFC 2015 itu, Akhyar bersama Safawi Rashid menjadi pemain pinjaman skuad Sang Penyu untuk tempoh satu musim bagi saingan Liga Malaysia edisi 2024/2025. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram