KEPUTUSAN jurulatih ternama, Tan Cheng Hoe untuk meninggalkan Selangor FC menimbulkan persoalan kerana kelab itu bakal berentap dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 musim depan.
Pemergiannya itu diikuti luahan kekecewaan penyokong kelab itu yang enggan melepaskan pengendali tersebut selepas satu tahun setengah merasai sentuhannya.
Amarah tersebut semakin dihangatkan apabila anak jati Kedah terbabit disahkan bakal mengendalikan kelab bergelut dalam Liga Thailand, Police Tero FC.
Mereka berpandangan keputusan itu berpunca daripada campur tangan pihak ketiga memandangkan nasib antara pasukan itu dengan Selangor FC cukup berbeza ketika ini.
Langkah tersebut sememangnya dipertikaikan dengan ramai pihak memberi kata-kata sinis terhadap karier jurulatih berusia 55 tahun itu.
BACA LAGI: Cheng Hoe lepaskan jawatan, kenapa mahu salahkan JDT?
Cheng Hoe (kanan) disahkan sebagai pengendali Police Tero FC. — Facebook/Police Tero FC
Namun, ada juga yang sempat memberikannya kata-kata semangat memandangkan sumbangan Cheng Hoe dalam arena bola sepak tempatan cukup membanggakan.
Malah, seorang lagi jurulatih ternama, Datuk Ong Kim Swee turut tampil menyuntik motivasi buat bekas pengendali Harimau Malaya itu.
"Sebesar-besar tahniah kepada Tan Cheng Hoe atas pelantikannya bersama Police Tero di Thailand. Ia adalah satu perkara yang hebat kerana pengendali tempatan diakui atas kualiti dan kredibiliti di negara luar. Semoga berjaya," katanya menerusi akaun X.
Kedua-dua jurulatih itu sememangnya satu ikon cukup disanjung penyokong setelah bertahun-tahun bergiat aktif dalam bidang tersebut.
BACA LAGI: Terkejut besar keputusan Tan Cheng Hoe, 3 calon termasuk Park Hang-seo dalam radar Selangor
Cheng Hoe meninggalkan skuad Gergasi Merah secara mengejut. — Facebook/Selangor FC
Malah, pertembungan ketika masing-masing mengendalikan Selangor FC dan Sabah FC juga sering disaksikan kerana masing-masing memiliki pendekatan taktikal tersendiri.
Walaupun tidak pernah bekerjasama secara dekat, Kim Swee dan Cheng Hoe masih mempunyai hubungan cukup baik setiap kali bertemu di luar padang.
Cheng Hoe bakal mengendalikan Police Tero yang kini berada di tangga ke-14 Liga Thai dengan hanya 19 mata dikutip selepas 19 perlawanan.
Penghijrahan berkenaan menyaksikan jurulatih tersebut menjadi pengendali tempatan pertama mempamer bakat di Thailand selepas bertahun-tahun terlibat dalam Liga Super dan pasukan negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram