Jika Kedah jatuh ke M3, Nafuzi Zain berpotensi dalam 'standby list' 3 kelab Liga Super


  • Podium
  • Khamis, 29 Feb 2024

Nafuzi memberi 17 kemenangan dan dua keputusan seri untuk KDA FC daripada 26 perlawanan Liga Super. — Facebook/KDAFC

NAMA Nafuzi Zain tiba-tiba dipetik bakal meninggalkan Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas satu laporan menyatakan seorang jurulatih Liga Malaysia (Liga M) akan meninggalkan pasukan kendaliaannya tidak lama lagi.

Laporan berkenaan bermula dari ciapan pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam menerusi laman X peribadinya yang memaklumkan bahawa pengendali itu sedang dalam perbincangan untuk menamatkan kontrak.

Namun segalanya terjawab selepas Selangor FC membuat pengumuman bahawa Ketua Jurulatihnya, Tan Cheng Hoe memilih untuk menamatkan kontrak kerana mendapat tawaran dari sebuah kelab di Thailand.

Walaupun penyokong KDA FC boleh menarik nafas lega dengan perkembangan itu, tetapi mungkin bukan untuk tempoh lama.

Ini kerana desas-desus mengatakan bekas juara double-treble itu tersenarai untuk diturunkan pangkat ke liga bawahan M3 susulan isu gaji yang membelenggu kelab tersebut.

Malah sudah ada petanda-petanda awal yang akan mengukuhkan dakwaan tersebut apabila kesemua import memilih angkat kaki ke kelab lain termasuk yang terbaharu, Manuel Hidalgo yang memilih ke JDT dan dipinjamkan ke Sri Pahang FC.

Sebelum itu juga, orang kanan Nafuzi iaitu Zul Fadzli Rozi juga sudah meninggalkan Kedah dan memilih Terengganu FC (TFC) sebagai majikan baharunya dengan menyandang jawatan sebagai pengarah sukan (sporting director).

Sekalipun, Nafuzi tidak akan meninggalkan Kedah dalam masa terdekat ini tetapi jangan hairan jika pengendali kelahiran Kelantan itu sudah berada dalam senarai pasukan lain sebagai pelan alternatif jika jurulatih semasa tidak menetapi sasaran kelab.

Bukan memandang rendah dengan kebolehan pengendali kelab lain namun kebarangkalian menukar jurulatih boleh berlaku bila-bila masa walaupun baru terlibat dalam satu ke dua perlawanan.

Melihat kepada rekod beberapa musim sebelum ini, Majoriti menyenaraikan 3 pasukan yang berpotensi meletakkan Nafuzi dalam senarai alternatif mereka;

BACA LAGI: Jurulatih berprofil tinggi akan tinggalkan kelab, nama Nafuzi Zain paling hot disebut

1) Perak FC

WhatsApp Image 2024-02-28 at 18.48.45 (1)

Yusri (tengah) sukses memberi penutup yang indah buat Perak pada musim lepas. — Facebook/PerakFC

Yusri Che Lah boleh dilabel sebagai superman Perak FC pada tahun lepas apabila dia berhasil mengubah nasib The Bos Gaurus (TBG) menjadi the giant killer ketika pusingan kedua Liga Malaysia (Liga M).

Selepas menewaskan pasukan gergasi seperti KDA FC dan Sabah FC, Yusri membimbing skuad Seladang sehingga ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia namun akhirnya tumbang di tangan Johor Darul Takzim (JDT).

Walaupun memberi penutup indah buat penyokong Perak namun sejarah kejurulatihan pengendali 47 tahun tersebut ketika mengendali Kelantan (2019-2020), Kuala Lumpur (2018-2019) dan bahkan skuad TBG pada saingan Liga Perdana 2022, tidak memberi impak yang positif.

Musim 2020 Yusri bersama Kelantan sekadar menghuni kedudukan kedua Liga Perdana dan memori hitam bersama Kuala Lumpur apabila dia terpaksa digugurkan sebagai pengendali dek mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan.

Dengan banyak beraksi bersama pasukan Liga Perdana dan hanya beberapa bulan bersama skuad TBG bagi saingan Liga Super 2023, kredibiliti Yusri untuk menempuh musim mencabar divisyen tertinggi domestik masih diragui.

2) Penang FC

WhatsApp Image 2024-02-28 at 18.48.44

Akmal Rizal (tengah) sebelum ini berkhidmat untuk skuad simpanan Penang FC. — Facebook/PenangFC

Penang FC juga berkemungkinan akan mempertimbangkan Nafuzi sekiranya Akmal Rizal Ahmad Rakhli kurang cemerlang mengemudi Harimau Kumbang dengan kini pasukan Utara tanah air itu sepertinya mempertaruhkan pemain muda.

Bukannya kurang yakin dengan taktikal yang bakal dibawa oleh Akmal Rizal namun pengalaman nya tidaklah banyak seperti Nafuzi susulan dia mula debut sebagai jurulatih ketika menyandang jawatan pengendali Penang FC Bawah 23 Tahun.

Pengendali berusia 42 tahun itu dinaikkan pangkat ke pasukan senior pada penghujung musim 2022 bagi menggantikan Chong Yee Fatt yang mendapat kritikan hebat kerana gagal memberi keputusan positif dalam saingan liga.

Sekiranya dalam pusingan pertama, Harimau Kumbang masih tidak nampak bayang dapat merealisasikan impian untuk menghuni kelompok enam terbaik, butang panik membawa masuk jurulatih baharu akan ditekan.

Nafuzi sesuai menjadi pilihan Harimau Kumbang kerana dia cukup sinonim dalam mengendali dan membentuk pemain muda. Kelebihan itu sejajar dengan Penang FC yang hadir dengan pemain muda sebagai sandaran musim ini.

BACA LAGI: Lepas Nafuzi, nama Tan Cheng Hoe pula dipetik bakal tinggalkan kelab

3) Terengganu FC

TOMMY

Tomislav tiba sebagai pengendali TFC pada awal tahun 2023. — Facebook/TFC

Bila sebut nama Nafuzi, Terengganu FC (TFC) antara kelab yang sinonim dengannya dan taktikal Nafuziball juga mula tercetus dan diaplikasikan ketika dia membimbing skuad Sang Penyu berkenaan.

Selepas meninggalkan Terengganu pada penghujung musim 2022, nama Nafuzi masih juga meniti di bibir penyokong skuad Sang Penyu kerana kemarahan penyokong memuncak terhadap prestasi Tomislav Steinbruckner pada tahun lepas.

Di bawah kendalian pengendali kelahiran Croatia berkenaan, Terengganu berhasil menjadi naib juara Piala Malaysia, perjuangan Piala AFC terhenti sehingga peringkat kumpulan dan setakat menghuni kedudukan keenam Liga Super.

Jika Tomislav masih bermula dengan agak perlahan pada musim ini, pasti dia akan digesa untuk meninggalkan Terengganu dan nama Nafuzi akan kembali disebut-sebut oleh penyokong skuad Sang Penyu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram