Taktikal ‘roadblock’ antara 3 perubahan kem skuad Jang jika berjaya sambar ‘The Giant Killer’


  • Podium
  • Selasa, 27 Feb 2024

Azzmi Aziz bakal perkuatkan pasukan NSFC selepas kali terakhir mengendalikan skuad Sang Saka Biru. — Facebook/PDRM FC

NAMA bekas pengendali PDRM FC musim lalu, Azzmi Aziz dilaporkan bakal kembali memeriahkan saingan Liga Malaysia (Liga M) untuk saingan musim akan datang di kerusi kejurulatihan sebuah pasukan.

Difahamkan, pengendali berusia 48 tahun itu akan menabur bakti bersama Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi menggantikan pengendali semasa, K. Devan.

Nama Azzmi bukan lagi sesuatu yang asing dalam arena bola sepak tempatan, selepas awal musim lalu menyaksikan sentuhan jurulatih tersebut berjaya menjadikan The Cops sebagai antara pasukan penuh kejutan.

Dia yang dikenali dengan status 'giant killer' selepas menumpaskan Selangor FC, Sabah FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC memiliki kebolehan untuk melakukan kejutan setiap kali berdepan pasukan lebih besar.

Pastinya kehadiran Azzmi ke skuad Jang dijangka membuat perubahan besar selepas berjaya mengejutkan Liga M dengan kebangkitan The Cops musim lalu.

Dalam pada itu, berikut Majoriti menyenaraikan tiga perubahan yang bakal berlaku di kem skuad Jang menjelang musim 2024/25.

BACA LAGI: Ledak 22 gol saingan domestik, legenda Sang Penyu hampir setahun disisihkan skuad Harimau Malaya

WhatsApp Image 2024-02-26 at 18.45.09

Barisan skuad The Cops musim lalu antaranya Bruno Suzuki (tiga dari kanan). — Facebook/PDRMFC

BACA LAGI: Skuad Jang cuba pikat ‘The Giant Killer’

1. Taktikal 'roadblock'

Menerapkan pendekatan bertahan secara berdisiplin dan bergantung kepada serangan balas pantas, pastinya keupayaan skuad Jang untuk meraih keputusan positif dalam setiap perlawanan dapat tercapai.

Meskipun menghuni tangga kesembilan Liga Super, sentuhan daripada Azzmi berpotensi untuk bersaing dengan kelab-kelab lain.

Pastinya segala ilmu yang pernah dicurahkan oleh Azzmi ketika masih bersama PDRM mungkin turut diterapkan dalam skuad Jang terutamanya dari segi taktikal.

Bermula sebagai kelab yang kerdil, NSFC juga mampu untuk membuat kejutan menjelang musim 2024.

2. Kebergantungan kepada penyerang berkualiti

Kehadiran Azzmi ke skuad Jang bukan sahaja membantu membuat perubahan dari segi taktikal malah mampu membentuk penyerang yang berkualiti.

Ketika mengemudi The Cops, Azzmi meletakkan kepercayaan kepada penyerang import PDRM, Bruno Suzuki untuk menggalas tugas sebagai seorang penyudah kelab tersebut.

Di bawah kendalian Azzmi, Bruno antara penyerang yang digeruni oleh kelab lain berikutan meledak sepuluh gol dan membuat dua hantaran bantuan musim lalu.

Dalam pada itu, nama penyerang skuad Jang, Sharel Fikri Fauzi antara yang dijangka berpeluang untuk menyerlah dalam setiap perlawanan liga nanti.

3. Beri peluang para pemain menyerlah

Selain memberi fokus kepada penyerang, kehadiran Azzmi mampu membantu beberapa pemain skuad Jang untuk lebih menyerlah.

Ketika masih bersama The Cops, Azzmi antara pengendali yang berjaya menaikkan nama beberapa pemain skuad tersebut musim lalu antaranya pemain sayap, Nabil Ahmad Latpi dan penjaga gol, Ramadhan Hamid.

Selepas menampilkan aksi cemerlang bersama PDRM, khidmat kedua-dua pemain tersebut ditagih oleh dua pasukan Liga Super apabila sudah sah menandatangani kontrak.

Pemain sayap The Cops, Nabil Latpi berhijrah ke Penang FC, manakala Ramadhan pula akan menabur bakti bersama Perak FC.

Dalam pada itu, antara nama skuad Jang yang berpotensi untuk menyerlah antaranya bek kiri, Zamri Pin Ramli, pemain tengah, R. Barath Kumar dan Ramaloo Aroon Kumar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram