PEMERGIAN Tan Cheng Hoe yang meninggalkan jawatannya sebagai pengendali Selangor FC memberi tamparan hebat terhadap kelab Lembah Klang itu.
Dia yang membawa mereka ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 dan muncul naib juara Liga Super tahun lalu boleh dianggap sebagai figura terkenal dalam kalangan penyokong skuad Gergasi Merah.
Bagaimanapun, kegagalan mendapatkan kata persetujuan atas beberapa isu menyaksikannya memilih untuk ke Thailand bagi mengembangkan sayap kejurulatihannya di negara itu bersama Police Tero FC.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila penghijrahan tersebut menjadi bahan bualan hangat peminat bola sepak tanah air yang terus tertanya-tanya akan keputusan drastik Cheng Hoe itu.
Bagi mereka, jurulatih berusia 55 tahun itu tidak mempunyai alasan kukuh untuk meninggalkan skuad Gergasi Merah kerana menerima sokongan hebat daripada pihak pengurusan yang sudah mendapatkan wajah baharu buat pasukan untuk saingan musim depan.
BACA LAGI: Gandingan Nafuzi Zain, Nidzam Jamil jadi pilihan Selangor musim depan?
Cheng Hoe diumumkan pengendali baharu Police Tero selepas ini. — X/Zulhelmi Zainal Azam
Kemasukan nama-nama berkualiti seperti Alvin Fortes dan Nooa Laine sudah menjadi bukti bahawa kelab itu memiliki 'senjata' ampuh untuk bercita-cita di pentas domestik dan di Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 musim depan.
Jadi, antara tekaan yang mula dilontarkan di media sosial ketika ini adalah mengenai kehadiran 'tangan ghaib' yang dianggap punca Cheng Hoe meninggalkan skuad Gergasi Merah.
Ini kerana ramai berasakan isu berkenaan pernah terjadi semasa jurulatih terbabit dipanggil untuk mengendalikan skuad kebangsaan pada 2017 setelah mengubah Kedah FA sebagai gergasi bola sepak tanah air.
Keputusannya untuk meninggalkan skuad Sang Kenari menyaksikan pasukan itu tidak lagi digeruni seperti ketika berada di bawah kendaliannya meskipun pernah menjulang Piala FA 2019.
Lebih teruk lagi, ada yang menuding jari ke arah jaguh bola sepak tempatan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan mereka berasakan pasukan itu terlibat dengan keputusan Cheng Hoe untuk mengundur diri.
BACA LAGI: [VIDEO] Pertama kali buka gelanggang, SSI makin meriah lepas tundukkan Kedah
Pemergian Cheng Hoe daripada Kedah FA juga amat mendukacitakan.
Antara hujah diberikan di media sosial adalah kerana pasukan itu, terutama pemiliknya, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris sering terlibat dengan isu dan kemelut bola sepak tempatan.
Namun, tuduhan tersebut boleh dianggap sungguh tidak berasas memandangkan kelab Selatan tanah air berkenaan sudah jauh meninggalkan Selangor FC dari segi imej dan pencapaian.
Pasukan yang menjuarai Liga Super untuk 10 kali berturut-turut itu sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi kerana mereka dihormati di seluruh Asia.
Penyertaan bertahun-tahun dalam saingan ACL cukup untuk menjadi bukti bahawa JDT memiliki kelebihan tersendiri berbanding skuad Gergasi Merah yang hanya melayakkan diri tahun ini setelah lapan tahun menyepi.
Selain itu, ada yang berpendapat pemergian Cheng Hoe ke Thailand akan menyaksikannya kembali ke tanah air dalam masa terdekat sebelum menyertai skuad Harimau Selatan sebagai staf kejurulatihan.
JDT sudah jauh meninggalkan pencabar lain dalam negara setakat ini.
JDT tak pakai 'coach' lokal
Pandangan tersebut sememangnya mudah ditepis kerana JDT lebih berminat untuk menggunakan khidmat pengendali import dengan hanya Azmi Mohamed satu-satunya jurulatih tempatan pernah diberikan tugasan.
Sekiranya JDT berhasrat meletakkan Cheng Hoe dalam skuad simpanan, sentuhan Mariano Echverria sudah mencukupi buat mereka setelah membawa pasukannya ke final Piala MFL musim lalu.
Jadi, sekiranya bekas pengenal Selangor FC itu menyertai JDT, ia hanya membawa kerugian buat kelab tersebut kerana khidmatnya tidak ditagih dalam skuad simpanan mahupun senior.
Kesemua pandangan itu menjadi petunjuk bahawa Cheng Hoe memilih untuk meninggalkan Selangor FC atas sebab peribadi selain kesukarannya mendapatkan kata persetujuan dengan skuad Gergasi Merah dari segi perpindahan mahupun hala tuju kelab.
Tetapi, ia bukanlah satu pengakhiran mendukacitakan buat mereka yang bakal beraksi di pentas Asia musim depan dengan pencapaian itu pasti sukar dilupakan.
Pemergian Cheng Hoe juga sekali gus membuka pintu buat mereka mendapatkan khidmat jurulatih luar dengan pengalaman luas, sekali gus memberi tentangan lebih hebat di peringkat domestik.
Meskipun keputusannya boleh dianggap drastik dan kurang menghormati, ini tidak dapat menjadi alasan buat penyokong menuding jari ke arah pihak lain atas nasib pasukan masing-masing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram