MUSIM baharu Liga Super masih belum bermula tetapi pelbagai cerita dan drama telah pun disaksikan oleh kita semua.
Yang paling hangat ketika ini adalah pemergian mengejut bekas pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe daripada kelab tersebut.
Cheng Hoe memilih meninggalkan Gergasi Merah atas faktor menerima tawaran untuk mengendalikan sebuah kelab di Thailand dan itu terbukti apabila dia sudah pun menyertainya.
Bekas pengendali Harimau Malaya itu telah sah dilantik menjadi pengendali kelab Police Tero dalam saingan divisyen satu Thailand. Kehadirannya ke kelab tersebut dilihat dengan misi Cheng Hoe perlu mengeluarkan mereka daripada kedudukan tiga terbawah.
Pemergiannya nyata mengejutkan ramai pihak terutama sekali penyokong Selangor. Mana tidaknya, sebelum ini, Cheng Hoe sendiri mengakui dia tidak sabar untuk memulakan musim baharu bersama-sama Gergasi Merah.
BACA LAGI: Cheng Hoe lepaskan jawatan, kenapa mahu salahkan JDT?
BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara berlagak tunjuk bom, 6 cedera dalam kejohanan sambo
Ditambah dengan peluang beraksi di Asia, pastinya kem Selangor begitu teruja untuk membuktikan kebolehan mereka ditambah dengan kehadiran nama-nama baharu seperti Ronnie Fernandez, Alvin Fortes dan Umar Eshmurodov.
Walaupun kini tidak lagi bersama, tetapi Cheng Hoe sempat meninggalkan pesanan khas buat penyokong Selangor. Pesanan yang ditinggalkan cukup ringkas ditinggalkan pengendali tersebut.
"Terima kasih kepada semua yang menyokong dan mendoakan saya," kata Cheng Hoe menerusi laman Instagram miliknya.
Pemergian Cheng Hoe ke Thailand menimbulkan 1,001 persoalan dalam kalangan penyokong Selangor. Kenapa perlu tinggalkan kapal yang stabil demi sebuah sampan yang menanti masa untuk karam?
Adakah melayakkan Selangor ke Asia itu saja sasaran Cheng Hoe di Selangor atau faktor wang menjadi motivasi dia ke Thailand? Hanya dia saja yang tahu semuanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram