Lepas Nafuzi, nama Tan Cheng Hoe pula dipetik bakal tinggalkan kelab


  • Podium
  • Rabu, 28 Feb 2024

Tan Cheng Hoe disebut-sebut akan tinggalkan Selangor.

GEMPAR bola sepak Malaysia apabila dikejutkan dengan berita kemungkinan terdapat seorang jurulatih berprofil tinggi akan meninggalkan kelabnya dalam masa terdekat.

Namun begitu, identitinya masih tidak dapat ditentukan tetapi dengan klu diberikan, terdapat beberapa nama yang mungkin akan dikaitkan dengan perkhabaran tersebut.

Menurut pemerhati sukan, Zulhelmi Zainal Azam, perkhabaran tersebut menyaksikan seorang jurulatih itu masih lagi dalam kontrak bersama kelabnya.

"Liga belum mula tapi difahamkan seorang jurulatih berprofil tinggi akan berpisah dengan kelabnya. Masih ada kontrak, jurulatih terbabit dalam perbincangan bersama kelab untuk penamatan kontrak," kata Zulhelmi.

Pada mulanya, nama pengendali Kedah Darul Aman FC iaitu Nafuzi Zain dikaitkan sebagai jurulatih yang bakal menamatkan kerjasaman antara dua pihak. Ramai menganggap dialah orangnya berkemungkinan kerana isu gaji yang melanda Sang Kenari ketika ini.

BACA LAGI: Jurulatih berprofil tinggi akan tinggalkan kelab, nama Nafuzi Zain paling hot disebut

448284925912037tchwebsite

Tan Cheng Hoe menyertai Selangor pada akhir musim 2022. — Selangor FC

BACA LAGI: Jordan Mintah ada pilihan reunion dengan Nafuzi di Sang Kenari atau lunas urusan tertinggal di KL City

Namun begitu, terdapat satu lagi nama yang dikaitkan iaitu jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe.

Cheng Hoe merupakan satu lagi nama dikaitkan dengan laporan tersebut dengan potensi pengendali tersebut mahu meletakkan jawatannya di Selangor.

Sumber dalaman Majoriti mengatakan yang proses untuk Cheng Hoe untuk meninggalkan kelab kini sedang berjalan dengan pengumuman akan dilakukan pada bila-bila oleh Gergasi Merah.

Khabarnya, Cheng Hoe dan Selangor memilih untuk berpisah kerana bekas pengendali skuad kebangsaan itu dilihat tidak begitu senang dengan keputusan pengurusan Gergasi Merah berkaitan perpindahan pemain.

Beberapa perpindahan pemain yang dilakukan oleh Selangor dilihat bukanlah pilihan sebenar Cheng Hoe dan kerana itu, dia berasakan sudah tiba masanya untuk tinggalkan Gergasi Merah.

Jika perkara ini benar berlaku, ia pastinya menjadi satu tamparan hebat buat Selangor yang kembali semula ke saingan Asia dengan menyertai Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Seandainya Cheng Hoe benar pergi, Selangor perlu mencari pengganti yang mempunyai kredibiliti sepertinya supaya kelab itu terus mencabar kejuaraan domestik musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram