BEKAS pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sah tinggalkan kelab Liga Super iaitu Selangor FC menerusi persetujuan bersama.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Selangor, pengendali itu memilih untuk meninggalkan Gergasi Merah selepas mendapat tawaran untuk menguruskan kelab di Liga Thailand.
"Selangor FC dan Tan Cheng Hoe telah mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak beliau berkuatkuasa secara serta-merta.
"Kelab telah dimaklumkan berkenaan keputusan Cheng Hoe untuk meninggalkan kelab bagi menggalas tugas sebagai ketua jurulatih di sebuah kelab di Thailand. Selangor FC juga telah menerima bayaran pampasan berdasarkan kontrak beliau," kata Selangor dalam kenyataan mereka.
BACA LAGI: Lepas Nafuzi, nama Tan Cheng Hoe pula dipetik bakal tinggalkan kelab
BACA LAGI: Perak hampir sah ikat ‘goal-scoring’ CB dari Brazil
Sebagai rekod, Selangor melantik Cheng Hoe sebagai pengendali Gergasi Merah pada September 2022.
Kehadiran Cheng Hoe berjaya memberikan dimensi baharu buat Selangor apabila pasukan yang lebih stabil berjaya direncana hinggakan Gergasi Merah berjaya mencabar kelab lain.
Hasilnya adalah apabila Selangor berjaya melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) selepas berjaya mengesahkan tempat sebagai naib juara Liga Super musim lalu.
Lebih menarik, Cheng Hoe berjaya membuatkan Selangor konsisten meraih tiga mata saban minggu apabila Gergasi Merah cuma tewas lima kali dan seri sekali dalam Liga Super.
Dengan pemergiannya, jawatannya diisi oleh pembantu, Nidzam Jamil buat sementara waktu sebelum pengendali baharu dibawa masuk ke Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram