KUALITI Johor Darul Ta'zim (JDT) bukan sahaja dapat disaksikan di atas padang kerana pelbagai infrastruktur kelab jauh meninggalkan pencabar lain.
Padang latihan yang memiliki kelengkapan serba canggih dan imej dijaga rapi boleh dikatakan bukti bahawa pasukan Selatan tanah air berkenaan berada di tahap berbeza.
Namun, apa yang lebih mencuri perhatian mengenai juara Liga Super 10 kali berturut-turut tersebut adalah pastinya Stadium Sultan Ibrahim, Johor yang menjadi rumah buat Harimau Selatan.
Venue dilengkapi barangan canggih itu sememangnya jauh meninggalkan stadium di seluruh Asia Tenggara dengan imejnya seakan-akan berada di Eropah.
Malah, kemudahan disediakan juga wajar diberikan pujian kerana pengunjung jarang kecewa setiap kali menyaksikan aksi di Stadium Sultan Ibrahim.
BACA LAGI: JDT borong 4 pemain termasuk kembar KL City, Manuel Hidalgo
BACA LAGI: 'Kejayaan Harimau Selatan dominasi bola sepak boleh ditiru JDT Racing Team'
Bagaimanapun, apa yang lebih membanggakan mengenai venue berkapasiti 40,000 penonton itu adalah apabila ia menjadi lokasi keraian JDT saban tahun.
Pertunjukan bunga api merupakan satu rupa ikonik buat skuad Harimau Selatan kerana sambutan diadakan gilang-gemilang saban musim.
Namun, keraian buat kali pertama pada 2020 pastinya lebih diingati selepas mereka meraih kemenangan dalam aksi Piala Sumbangsih di hadapan ribuan penyokong.
Kemenangan 1-0 ke atas Kedah FA hasil jaringan Mauricio menyaksikan JDT buat kali ketiga berturut-turut selain meraih tiga mata penuh dalam Liga Super.
Kejayaan tersebut disusuli pertunjukan pencahayaan amat dikagumi ribuan penyokong yang membanjiri Stadium Sultan Ibrahim dengan imejnya membuatkan ramai daripada mereka terpukau.
Bagaimanapun, persembahan bunga api tidak diadakan kerana ia sudah berlangsung terlebih dahulu beberapa hari sebelum itu ketika ia dirasmikan dengan penyokong diberikan peluang merasai suasana berkenaan.
Sehingga kini, stadium terbabit terus dikagumi peminat bola sepak di Asia, termasuk pasukan lawan yang hadir beraksi untuk saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Di samping menjadi venue utama buat skuad Harimau Selatan, ia juga pernah digunakan Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan menentang Hong Kong dan Turkmenistan tahun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram