Jika ikut caranya, Zeon Zoysia SNBJ boleh tumbuh dalam 2 minggu — Pakar rumput


  • Podium
  • Selasa, 27 Feb 2024

Pentas konsert Ed Sheeran yang dibangunkan di tengah-tengah padang SNBJ.

BARU-BARU ini, isu rumput di gelanggang keramat Harimau Malaya mencuri tumpuan orang ramai selepas artis antarabangsa, Ed Sheeran mengadakan persembahan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur.

Berdasarkan gambar tular dan video keadaan terkini di SNBJ, pentas digunakan oleh artis kelahiran England berkenaan didirikan di tengah padang yang secara tidak langsung menyebabkan padang di stadium keramat Harimau Malaya itu rosak.

Hal itu sekali gus mengundang kerisauan penyokong tanah air menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, 26 Mac ini menentang Oman.

Tampil meredakan orang ramai, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberi kenyataan bahawa pihak mereka akan menyelesaikan isu tersebut dengan melibatkan tenaga pakar, Labosport selain bersedia menggunakan rumput tersedia di tapak semaian untuk mengatasi masalah itu.

Berhubung hal itu, Majoriti mendapatkan pakar rumput iaitu pengasas kepada syarikat Turf Consultancy, Normas Yakin Md Arifin.

Ketika ditanya sama ada rumput Zeon Zoysia yang digunakan di SNBJ boleh pulih semula sebelum aksi Malaysia berdepan Oman, Normas Yakin berkata, kesediaan padang itu hanya boleh dinilai dengan melihat serta meneliti keadaan terkini padang tersebut.

BACA LAGI: Tenaga pakar jadi solusi PSM elak 'tragedi' padang SNBJ berulang

WhatsApp Image 2024-02-27 at 19.43.47

Rumput baharu SNBJ tercabut ketika Pestabola Merdeka. — Agensi

BACA LAGI: Hamidin sudah jawab isu padang SNBJ, fans beri bayangan venue aksi HM-Oman beralih ke SSI

Katanya, untuk mengulas lebih lanjut mengenai perkara tersebut, dia perlu melihat sendiri keadaan padang kerana buat masa ini dia belum berkesempatan meninjau keadaan terkini.

"Saya minta maaf, saya tak nampak gambar atau tahu tentang keadaan padang sekarang jadi tak boleh jawab dengan lebih lanjut," katanya.

Meskipun begitu, Normas Yakin memaklumkan bahawa terdapat cara yang sesuai untuk merawat rumput tersebut jika berlaku kerosakan seperti yang didakwa.

Beliau menjelaskan ada kaedah tertentu untuk menggalakkan pertumbuhan akar bagi jenis rumput Zeon Zoysia.

"Kalau ditanam secara sod, sekitar dua minggu (boleh tumbuh) bergantung kepada beberapa faktor seperti kesuburan sod, penyiraman dan penyediaan sod," jelasnya.

Secara definisi, sod ialah rumput termasuk akar yang dipegang oleh tanah. Biasanya ia adalah lebih besar atau bersamaan dengan satu kaki persegi. Cara penanaman ialah dengan menanam rapat-rapat dalam susunan seperti menyusun batu bata. Ia boleh juga disusun jarang-jarang sehingga memenuhi 50 peratus luas kawasan.

Selain itu, ditanya mengenai penyediaan tapak semaian yang disediakan oleh PSM, Normas Yakin berkata, inisiatif tersebut amat penting.

"Itu memang fungsi tapak semaian yang seharusnya sama taraf dengan padang. Ia akan jadi rumput 'back up' untuk padang asal.

"Memang sepatutnya ada nurseri rumput untuk rumput yang sukar dicari locally seperti Zeon Zoysia," katanya.

Sebelum ini, gelanggang keramat Harimau Malaya pernah dikritik selepas tercabut di beberapa bahagian ketika aksi Malaysia berdepan India dalam saingan Kejohanan Pestabola Merdeka 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram