PSM dah jawab isu rumput, tapi ada masalah lain SNBJ belum sedia aksi HM-Oman


  • Podium
  • Ahad, 25 Feb 2024

Pentas konsert Ed Sheeran yang dibangunkan di tengah padang Stadium Nasional Bukit Jalil.

PERMUKAAN padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur sekali lagi mengundang kerisauan penyokong selepas artis antarabangsa, Ed Sheeran difahamkan akan mengadakan persembahan di gelanggang Harimau Malaya itu pada Sabtu.

Berdasarkan gambar tular dan video keadaan terkini di SNBJ, pentas digunakan oleh artis kelahiran England berkenaan akan didirikan di tengah padang yang dijangka bakal menyebabkan padang di stadium keramat Harimau Malaya itu rosak.

Tampil meredakan orang ramai, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM)memberi kenyataan dalam mengelakkan tragedi pasca konsert Coldplay pada November lalu berulang pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, 26 Mac ini menentang Oman.

"Sebagai langkah awal, PSM telah memindahkan rumput seluas 1,900 meter persegi bagi menempatkan pentas dan menara sistem audio mengikut tema 'world tour' Ed Sheeran.

"Rumput yang telah dipindahkan kini diberi jagaan insentif, termasuk pengairan dan pembajaan supaya kesihatan rumput berada pada tahap optimum," tulisnya.

Menurut kenyataan dikeluarkan, PSM akan melibatkan tenaga pakar, Labosport selain bersedia menggunakan rumput tersedia di tapak semaian untuk mengatasi masalah itu.

Walaupun pihak PSM sudah memberi jaminan berhubung isu rumput di SNBJ namun terdapat tiga faktor gelangang keramat Harimau Malaya itu belum sedia untuk jadi venue Malaysia menentang Oman pada 26 Mac ini.

1) Akar tak kuat meskipun ada backup rumput tapak semaian

WhatsApp Image 2024-02-24 at 19.17.01-2

TMJ (tengah) pernah memaklumkan bahawa memerlukan masa kira-kira dua hingga tiga bulan untuk memastikan akar rumput betul-betul kuat. Facebook/TMJ

Seperti dikatakan oleh perbadanan berkenaan, PSM sudah bersedia untuk menggunakan rumput dari tapak semaian sekiranya perlu, yang bermaksud ia akan digunakan jika kawasan pentas itu berlaku kerosakan selepas konsert Ed Sheeran berlangsung.

Difahamkan, tapak semaian sedia ada yang disediakan pihak PSM mempunyai keluasan rumput melebihi 2,000 meter persegi untuk menampung keperluan padang SNBJ.

Bagaimanapun, lebihan rumput semaian berkenaan tidaklah memberi jaminan untuk bertahan sepanjang perlawanan menentang Oman kerana ada kemungkinan akarnya tidak kuat dan berpotensi tercabut semasa aksi berlangsung.

Perkara itu pernah dilontarkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang mana selepas rumput dipasang, akarnya memerlukan masa kira-kira dua hingga tiga bulan untuk kuat.

Manakala, jarak perlawanan Malaysia menentang Oman pula berbaki sebulan lagi dan secara zahirnya, ia hanya akan memalukan tanah air sekiranya ada rumput ‘koyak’ dan tercabut nanti.

2) Rumput zeon zoysia belum cukup matang

WhatsApp Image 2024-02-24 at 19.21.45

Memerlukan masa enam bulan untuk memastikan rumput SNBJ mencapai standard SSI. Facebook/JDT

Melihat kembali pada kerosakan pertama selepas rumput Zeon zoysia dipasang di SNBJ, tidak sampai tiga hari padang baharu digunakan namun sudah kelihatan rosak sebaik 45 minit pasukan Malaysia beraksi menentang India pada perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2023.

Rumput Zeon zoysia di gelanggang keramat itu digunakan pada Oktober 2023 dan sehingga kini, ia masih belum cukup matang kerana memerlukan masa kira-kira enam bulan untuk mencapai standard seperti di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.

Ia sejajar dengan kenyataan yang dikeluarkan pakar rumput iaitu pengasas kepada syarikat Turf Consultancy, Normas Yakin Md Arifin, menyifatkan rumput zeon zoysia belum cukup matang.

“Rumput Zeon zoysia memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk benar-benar matang dan sesuai digunakan. Sekarang ni SNBJ belum matang, tapi apabila sudah matang nanti dia akan lebih baik daripada padang lain," katanya.

Sepatutnya, April 2024 adalah bulan sesuai untuk rumput baharu itu digunakan selepas ia selesai dipasang pada Oktober namun lain pula jadinya apabila padang berkenaan sudah dirasmi dengan perlawanan Pestabola dan konsert berskala besar.

3) Rumput tak kuat cederakan pemain

WhatsApp Image 2024-02-24 at 19.17.01

Ubaidullah antara pemain yang cedera angkara padang SNBJ. Facebook/JDT

Tragedi pemain ditimpa kecederaan susulan beraksi di padang rosak boleh timbul lagi jika SNJB kekal dipilih sebagai venue perlawanan pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, menentang Oman.

Insiden padang SNBJ ‘makan’ kaki pemain boleh dilihat ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 diantara Johor Darul Takzim (JDT) menentang Terengganu FC (TFC) pada Disember lalu.

Pertahanan TFC, Ubaidullah Shamsul Fazili difahamkan terpaksa perlu berehat sekitar sebulan hingga dua bulan selepas mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) semasa aksi final yang menyaksikan JDT menang 3-1 ketika itu.

Selain Ubaidullah, dua pertahanan Harimau Selatan iaitu Corbin Ong dan Shane Lowry turut mengalami kecederaan dalam perlawanan sama.

Dengan pemain kebangsaan yang rata-ratanya berkemungkinan tidak berada pada tahap stamina cemerlang dek kali terakhir beraksi pada Januari lalu dalam aksi Piala Asia 2023, pasti akan memudahkan lagi mereka ditimpa masalah kecederaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram