BARU-BARU ini, kancah bola sepak tanah air dikejutkan dengan berita kurang gembira apabila dua bekas juara Piala Malaysia terpaksa melupakan pentas Liga Super musim 2024/25.
Difahamkan, kemelut kewangan antara faktor yang membawa episod duka kepada dua kelab Liga Super, Kuala Lumpur (KL) City FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang berkemungkinan akan turun pangkat ke kancah amatur, Liga M3.
Ia berikutan selepas kedua-dua pasukan tersebut difahamkan masih belum menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan staf kejurulatihan.
Meskipun berpotensi untuk diturunkan pangkat musim depan, KL City FC bagaimanapun tetap meneruskan perancangan pasukan tersebut dengan membawa masuk dua pemain skuad Jang.
BACA LAGI: Nasib Kedah, KL dalam Liga Super makin kelam, 2 kelab Lembah Klang disebut bakal naik pangkat
Kehadiran Hasbullah Abu Bakar (kanan) ke skuad Warga Kota itu dijangka akan membantu bahagian tengah pasukan tersebut musim depan. — Facebook/NSFC
BACA LAGI: Kedah terima talian hayat tapi ramai ingatkan ukur baju di badan sendiri
Menurut ciapan yang ditulis oleh wartawan tempatan di laman X, Zulhelmi Zainal Azam, The City Boys kini giat membawa dua pemain skuad Jang iaitu Hasbullah Abu Bakar dan Che Rashid Che Halim bagi membantu pasukan tersebut dalam saingan Liga M3 musim depan.
"KL City tetap buat kerja, difahamkan dah final stage untuk sign dua pemain Negeri Sembilan FC, Hasbullah Abu Bakar dan Che Rashid Che Halim.
"Hasbullah for Ryan Lambert, Che Rashid option right back dengan Kamal Azizi," ciapnya.
Difahamkan, kehadiran Hasbullah Abu Bakar boleh membantu bahagian tengah The City Boys selain untuk menggantikan posisi Ryan Lambert yang menyertai pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT).
Manakala, Che Rashid pula bakal bergandingan dengan pemain pertahanan KL City FC, Kamal Azizi sekali gus membantu memperkukuhkan benteng pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu.
Sebelum ini, KL City FC berputih mata apabila kehilangan tiga pemain iaitu Romel Morales, Ryan Lambert dan Declan Lambert yang berkelana ke Harimau Selatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram