Kedah terima talian hayat tapi ramai ingatkan ukur baju di badan sendiri


  • Podium
  • Khamis, 29 Feb 2024

Isu kewangan kuad Sang Kenari masih belum diselesaikan selepas berbulan-bulan dialaminya. — Facebook/KDA FC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC mampu menarik nafas lega buat sementara setelah diumumkan mereka sudah menemui dana untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji dialami musim lalu.

Namun, atas alasan tertentu, wang berkenaan hanya boleh ditunaikan seawal April yang pasti melanggar tarikh tutup ditetapkan First Instance Body (FIB) berkaitan hal pelesenan.

Jadi, dalam memastikan masalah berkenaan tidak berlanjutan, kelab Utara tanah air itu menegaskan bahawa pihak mereka sedang cuba mendapatkan dana pendahuluan bagi pembayaran segera.

"Walaupun kelab bergelut dengan isu kelestarian kewangan musim lepas, pihak pengurusan tetap fokus melakukan segala persiapan pasukan-pasukan KDA FC untuk musim 2024-2025.

"Proses persiapan kini sudah mencapai tahap 85 peratus, namun segala langkah diatur bergantung kepada keutamaan penyelesaian tunggakan kewangan tahun 2023.

BACA LAGI: Dah tiba masa ganti Ifwat, KDA FC antara 3 kelab patut sambar Rahadiazli

429815564_437943461920170_8924872697513996409_n

Kedah mengeluarkan kenyataan mengenai keadaan semasa kelab pada Khamis. Facebook/KDA FC

"Justeru, pengumuman berkenaan pasukan serta penajaan hanya akan dilakukan selepas isu utama diselesaikan" kata KDA FC menerusi satu kenyataan dikeluarkan pada Khamis.

Ia boleh dianggap satu berita baik buat pasukan yang bergelut dengan kemelut kewangan sehingga masa depan mereka dalam Liga Super masih tidak dapat diputuskan.

Namun, bagi penyokong Hijau Kuning, ramai beranggapan ia perlu menjadi titik perubahan buat skuad Sang Kenari agar lebih peka dari segi kewangan selepas ini.

"Belajar daripada kesilapan, tidak perlu bawa masuk terlalu ramai pemain import, empat orang sudah cukup tetapi hasil diperlukan. Jangan tangkap muat sahaja," kata Si Cario.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Game panas', 7 kad kuning pernah cemari aksi JDT-KDA FC

2501266

Daud Bakar sebagai pemilik kelab terus komited mencari jalan penyelesaian. Facebook/KDA FC

"Ambil pengajaran dari musim lepas, ukur baju di badan sendiri. (Alan) Robertson, (Ebenezer) Assifuah dan (Jonathan) Balotelli ialah pembelian import yang merugikan kerana tak membantu pasukan," kata Saiful Azli Rohaizad.

"Mari kita sokong bersama-sama musim depan, kita ada penyokong yang ramai, beli pemain import yang berkualiti, yang lepas dijadikan pengajaran. Pulun Hijau Kuning Pulun," kata Adam Harris.

Selain skuad Sang Kenari, Kuala Lumpur (KL) City FC turut berdepan nasib sama apabila FIB Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mendapati terdapat isu tunggakan gaji yang belum diselesaikan.

KDA FC turut difahamkan bakal mengadakan sesi latihan pramusim minggu depan dengan pemain masih belum melaporkan diri setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram