PEMAIN bola sepak profesional pastinya mempunyai rutin tersendiri sebelum perlawanan bermula, bahkan tentunya juga terdapat beberapa aktiviti tertentu sebelum sesi latihan diadakan.
Lihat sahaja bintang bola sepak dunia, Lionel Messi yang difahamkan memaksimumkan latihan ringan seperti regangan hamstring, pillar bridge-front, lunges, pillar skips dan squats untuk menguatkan otot kakinya.
Bagi Cristano Ronaldo pula, pemain antarabangsa Portugal berkenaan sudah perlu melakukan senaman regangan dan makan makanan yang sihat serta berzat untuk memberi tenaga sebelum bermain.
Selepas melihat rutin bintang bola sepak luar negara, pastinya penyokong juga tertanya-tanya bagaimana pula aktiviti pemain tempatan terutamanya tonggak pasukan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT).
Dengan status JDT sebagai kelab gergasi tanah air yang berhasil mempertahankan kejuaraan Liga Super sebanyak 10 kali berturut-turut dan satu-satunya wakil Malaysia ke pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL), pastinya rahsia rutin pemain Harimau Selatan ingin diketahui.
Menerusi Facebook rasmi JDT, beberapa pemain Harimau Selatan termasuk import baharu kelab berkenaan berkongsi rutin mereka sebelum sesi latihan bermula.
BACA LAGI: Bekas 'coach' TRW teruja jadi keluarga Harimau Selatan, kongsi faktor besar sertai JDT
BACA LAGI: Enjin mula panas, ramai harap Hafizh Syahrin tampil serasi bersama JDT Racing Team
Bek kiri baharu Harimau Selatan, Murilo berkongsi bahawa akan memulakan harinya dengan membuat senaman ringan di gim latihan, membuat sedikit pergerakan ringan dan seterusnya bergerak ke sesi latihan.
Nicolao Dumitru yang bertugas sebagai penyerang kiri pula akan memulakan latihan secara keseluruhan melibatkan fizikal badan, berbasikal bagi memantapkan stamina dan seterusnya sentiasa memastikan diri berada dalam keadaan yang baik.
Berbeza dengan dua pemain baharu itu, bek muda JDT yang semakin meningkat naik, Feroz Baharudin pula memilih aktiviti berbasikal bagi meningkatkan kekuatan otot, menunaikan solat dan melakukan sedikit warm up atau memanaskan badan sebelum melakukan aktiviti fizikal.
Malah, persiapan berbeza turut dibuat pemain import dari Australia, Shane Lowry yang memerlukan secawan kopi, berbasikal seperti Feroz dan melakukan sedikit regangan sebelum sesi latihan sebenar bermula.
Perkongsian daripada penyerang sayap Argentina, Fernando Forestieri yang menjadi tonggak JDT untuk dua musim membuktikan bahawa dia memiliki persiapan berbeza apabila perlu mendengar lagu terlebih dahulu bagi menaikkan semangat untuk fokus berlatih.
Hal itu membuktikan terdapat rahsia atas kejayaan JDT kerana pemain masing-masing mempunyai tanggungjawab untuk mempersiapkan fizikal dan mental sebelum memberi 100 peratus kepada sesi latihan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram