BEKAS pemain tengah kebangsaan, Amirul Hadi Zainal merupakan salah seorang pemain tengah terbaik pernah mewarnai arena bola sepak moden.
Ia dapat disaksikan apabila khidmatnya ditagih bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal ketika kempen Piala AFF 2010 dengan skuad kebangsaan menjuarainya.
Di peringkat kelab pula, anak jati Alor Gajah, Melaka itu sememangnya diakui memiliki sentuhan istimewa kerana dia pernah menyertai tiga kelab gergasi tanah air.
Setelah meraih kejayaan bersama Selangor FA untuk beberapa musim, Amirul Hadi kemudiannya berpindah ke Pahang FA pada 2013 dan beraksi di situ untuk setahun.
Peningkatan ketara dari segi gaya permainannya menyaksikannya dipancing Johor Darul Ta'zim (JDT), sekali gus membuka lembaran baharu dalam kariernya.
BACA LAGI: Pakai jersi MU, ‘ubi muda’ Selangor dikecam tak hormat kelab sendiri
Amirul Hadi merekodkan beberapa penampilan bersama skuad Harimau Malaya.
Kini, setelah pelbagai pencapaian berjaya direkodkan, Amirul Hadi masih kekal di Selatan tanah air sebagai pembantu jurulatih dalam skuad muda Harimau Selatan.
Namun, rasa cintanya untuk beraksi di atas padang masih belum luntur kerana dia beberapa kali kelihatan beraksi dalam liga sosial.
Ia terbukti apabila baru-baru ini, pemain tinggi lampai itu bermain dengan aktif bersama sebuah pasukan berpangkalan di Selangor iaitu Kelana United FC seperti mana dikongsikan di akaun TikTok Tok Min Lensa.
Kelincahannya dalam menggelecek bola serta mengejar pihak lawan membuatkan ramai penyokong teruja dengan kualiti yang masih dimiliki bekas tonggak Harimau Malaya itu.
"Skuad pemenang Piala AFF. Badan tinggi dia ni perebutan atas udara boleh diberikan. Ketika dia main bersama Pahang, memang minat tengok gaya permainannya.
BACA LAGI: Status Selangor mungkin sebab Penang tak dapat pinjam Khuzaimi Piee
Amirul Hadi masih mampu beraksi dengan baik meskipun sudah beberapa tahun menamatkan kariernya.
"Sebab itulah Datuk Rajagobal ambil dia bermain bersama Malaysia untuk Piala AFF. Selepas itu, tak tahu dia hilang ke mana," kata Shafree Amri Bin Jafridin.
"Teringat ketika dia masih di Pahang, ditukarkan ke posisi pemain tengah. Dia lah pencetus gaya permainan moden mereka ketika itu," ujar Qusyai Ryana.
"Masih ada stamina hebat dan bertenaga. Ingat juga dulu ketika masih bersama Selangor dan JDT, boleh kata susah untuk hentikan dia ni," kata Karim Jabar.
Untuk rekod, Amirul Hadi pernah menjuarai enam gelaran juara Liga Super, iaitu dua ketika bersama Selangor FA dan empat ketika beraksi bersama skuad Harimau Selatan.
Selain itu, pemain yang kini berusia 37 tahun tersebut merupakan salah seorang tonggak ketika JDT menjuarai Piala AFC 2015 dengan beberapa penampilan direkodkannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram