Tok Gajah makin garang, guna khidmat bekas 'coach' Kedah demi kecergasan pemain


  • Podium
  • Selasa, 27 Feb 2024

Skuad Tok Gajah dilihat mampu menjadi pencabar serius untuk saingan Liga Super musim depan. — Facebook/Sri Pahang FC

KENYATAAN berani daripada pengurus Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh bahawa pasukan itu akan menjadi pencabar utama Liga Super 2024/25 menerima respons kurang memberangsangkan daripada penyokong mereka sendiri.

Mereka yang hanya berada di tangga kelima musim lalu dilihat masih belum bersedia untuk memberikan saingan hebat jika dinilai kepada prestasi pada lima perlawanan terakhir liga.

Bagaimanapun, berdasarkan persiapan dibuat skuad Tok Gajah ketika ini, pandangan sinis orang ramai terhadap kebolehan kelab Pantai Timur itu kian terpadam.

Kemasukan pemain-pemain baharu, seperti Adam Nor Azlin dan Sean Selvaraj merupakan satu titik permulaan buat revolusi Sri Pahang FC musim depan.

BACA LAGI: Lepas harungi musim sukar di NSFC, Sean mahukan sesuatu dari Fandi, Sri Pahang

WhatsApp Image 2024-02-27 at 16.00.14

Azmi (depan) ketika sesi latihan skuad Tok Gajah baru-baru ini. Facebook/Sri Pahang FC

Selain itu, mereka turut dikhabarkan bersedia untuk membawa masuk pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan yang pastinya mampu melonjakkan lagi kualiti pasukan.

Usaha berkenaan tidak terhenti di situ apabila baru-baru ini, penyokong teruja dengan kelibat legenda atlet Pahang, Azmi Ibrahim berada di padang latihan kelab.

Dia yang pernah disanjungi sebagai salah seorang jaguh trek negara difahamkan memegang jawatan jurulatih kecergasan skuad Tok Gajah musim depan.

Ia pasti membawa satu nafas baharu buat anak-anak buah Fandi Ahmad yang bergelut dengan isu tersebut sepanjang 2023 sehingga menyaksikan mereka sering keletihan pada penghujung permainan.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan Kedah, nama Brendan Gan dicanang jadi buruan Sri Pahang FC

47292459_2245578585474606_1817008841108226048_n

Azmi ketika bertugas sebagai jurulatih kecergasan buat skuad Sang Kenari. Facebook/Kedah FA

Berdasarkan pencapaiannya, Azmi memiliki pelbagai rekod sepanjang bertahun-tahun berkhidmat dalam bidang keolahragaan dengan beberapa pertandingan di dalam dan luar negara disertainya.

Dua gelaran olahragawan Sukan Malaysia (Sukma) pada 1992 dan 1994 serta penyertaan pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Lisbon, Portugal merupakan serba sedikit bukti bahawa dia merupakan penambahan terbaik buat skuad Tok Gajah.

Selain pernah mencipta nama dalam sukan trek, Azmi yang merupakan anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang turut mempunyai pengalaman dalam dunia bola sepak tempatan.

Antara kelab yang pernah menagih khidmatnya sebagai jurulatih kecergasan ialah Kedah FA pada 2019 dan pasukan Liga Singapura, Home United FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram